KAMUNTING: Perak akan menguatkuasakan sepenuhnya larangan penggunaan plastik dan bekas polisterin berkuat kuasa jun 2017.

Larangan itu melibatkan semua jabatan dan agensi kerajaan negeri dan persekutuan, orang awam, pasar raya, premis perniagaan dan kedai runcit.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau ne­geri, Datuk Dr Muhammad Amin Zakaria memberitahu, proses penguatkuasaan itu telah mula dilaksanakan secara berperingkat-peringkat sejak Jun 2016.

Menurutnya, sepanjang tempoh tersebut, penyedia makanan digalak menyediakan makanan secara bufet atau menggunakan bekas daripada bahan yang boleh diurai secara semula jadi.

Seterusnya, ujar beliau, pe­nguatkuasaan peringkat kedua bermula Januari 2017 dengan larangan sepenuhnya penggunaan kedua-dua bahan itu di semua bangunan kerajaan negeri dan persekutuan.

“Dalam masa yang sama, kita dapat respon yang positif dari juga pembekal-pembekal plastic, di mana mereka telahpun beralih kepada mengeluarkan plastik dan bahan bekas-bekas makanan itu daripada bahan yang boleh diurai secara semula jadi.

“Ada pembekal telahpun mempromosikan bahan–bahan yang buat itu di premis perniagaan seperti di kafeteria SUK, di tempat-tempat penjualan makanan dan sebagainya,” katanya.

Dr Muhammad Amin berkata, buat masa ini, kerajaan negeri sangat menggalakkan orang ramai untuk turut serta mengambil bahagian di dalam larangan tersebut.

Beliau memberitahu, kerajaan negeri juga meneruskan usaha-usaha untuk memberikan kesedaran dan juga pendidikan kepada setiap lapisan masyarakat, bermula di peringkat sekolah.