IPOH – Kerajaan Perak belum membuat sebarang ketetapan sama ada mahu meneruskan perkhidmatan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) di negeri ini atau sebaliknya.

Exco Kerajaan Negeri, Yong Choo Kiong berkata, buat masa ini, pihaknya sedang melakukan uji cuba dan analisa semua cadangan dikemukakan pihak berkuasa tempatan (PBT) berhubung pengurusan sampah di kawasan masing-masing.

Menurutnya, langkah itu bagi memastikan penswastaan yang akan dilakukan kerajaan negeri nanti, tidak melibatkan kos tinggi.

“Secara dasarnya, kerajaan amat berpuas hati dengan pengendalian dilakukan SWCorp, kita telahpun mengadakan perbincangan lanjut mengenai hal itu, namun kerajaan negeri juga ada menerima tawaran khidmat pengendalian sisa pepejal daripada beberapa syarikat lain, kita akan lihat semua tawaran ini secara terperinci.

“Kita tidak mahu, kos tinggi dalam urusan ini memaksa cukai taksiran yang dikenakan meningkat, sudah tentu ini akan menyusahkan penduduk,” katanya ketika ditemui pada sesi turun padang di sekitar Jalan Kuala Kangsar, hari ini.

SWCorp mengambil alih pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam di Perak pada Mei 2017.

Berdasarkan perjanjian asal dimeterai di bawah Akta 672 Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007, SWCorp mengambil alih empat PBT pada peringkat pertama iaitu Kuala Kangsar, Tanjung Malim, Manjung dan Teluk Intan.

Dalam perkembangan lain, Datuk Bandar Ipoh, Datuk Zamri Man melahirkan rasa kesal dengan sikap penonton perlawanan bola sepak yang tidak menjaga kebersihan di Stadium Perak, semalam.

Katanya, stadium yang telah dinaik taraf itu di bawah penyeliaan sepenuhnya Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) termasuklah hal-hal pengendalian sampah.

“Bagaimanapun dalam aspek kebersihan ini, ia berkait rapat dengan kesedaran sivik, bagi menyelesaikan isu ini, kita akan tambah baik kemudahan tong sampah di situ,” katanya – sinar