IPOH: Kerajaan negeri Perak belum membuat sebarang keputusan sama ada untuk menaikkan tarif air atau tidak.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, Perak juga bukan antara enam negeri yang telah bersetuju dengan rancangan untuk menaikkan tarif itu.

Menurut beliau, kerajaan negeri akan mengambil kira pelbagai perkara sebelum membuat keputusan itu.

“Kita belum membuat keputusan berkenaan perkata tersebut namun hari ini kita ada membincang tentang kaedah-kaedah jika ada keperluan untuk menaikkan tetapi tiada keputusan lagi dibuat.

“Kita memikirkan bagaimana untuk tidak membebankan rakyat, itu yang lebih penting tetapi dalam masa yang sama kelestarian syarikat itu juga ataupun untuk kita menjalankan operasi bekalan air ini mesti di tahap yang terbaik dan untuk jangka masa yang panjang,” katanya.

Beliau ditemui selepas mengiringi pegawai pejabat Menteri Besar membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kemungkinan penyelewengan projek taman tema di sini, pada Khamis.

Pada Rabu, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar memberitahu Parlimen bahawa perundingan untuk menaikkan tarif air giat dijalankan kerana kadar berkenaan tidak pernah disemak dalam tempoh 20 tahun.