IPOH: Kerajaan negeri Perak membuat keputusan untuk membenarkan pengusaha premis makanan beroperasi secara ‘dine in’ atau makan di dalam restoran.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu bagaimanapun berkata, keputusan sama ada untuk membenarkan pelanggan makan di dalam restoran atau tidak, adalah terpulang sepenuhnya kepada para pengusaha.

Menurut beliau, sekiranya mereka telah bersedia untuk mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) ketat yang telah ditetapkan, bolehlah ia benarkan.

“Jika belum bersedia, eloklah tangguhkan dahulu. Seperkara lagi ingin diingatkan, umat Islam masih ditegah untuk makan di restoran pada waktu siang hari dalam bulan Ramadan ini,” katanya
ketika membentangkan Pakej Ransangan Ekonomi Negeri Perak fasa dua di pejabatnya di sini, hari ini.

Ahmad Faizal turut mengumumkan aktiviti riadah di taman-taman rekreasi awam dibuka semula kepada orang ramai, berkuatkuasa serta merta.

“Begitupun, orang ramai diingatkan bahawa mereka wajib mematuhi SOP ketat norma baru khususnya mematuhi penjarakan sosial sewaktu beriadah di taman rekreasi awam,” ujarnya.