IPOH: Dengan tema ‘Rakyat Aman dan Jaya’ bertujuan mempastikan kesinambungan pembangunan dan pengupayaan ekonomi rakyat, kerajaan negeri Perak hari ini membentangkan Bajet 2018 yang berjumlah RM1.17 bilion.

Daripada peruntukan itu, RM775.5 juta disediakan bagi perbelanjaan mengurus manakala RM421.28 juta untuk perbelanjaan pembangunan.

Ketika membentangkan bajet itu di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata bajet itu memberi tumpuan kepada lima fokus utama.

Lima fokus itu ialah memacu pembangunan dan ekonomi negeri; memakmur dan mensejahterakan rakyat; melahirkan masyarakat berilmu dan generasi cemerlang; mengutamakan sara diri rakyat dan memulihara kelestarian sumber dan khazanah negeri.

Dr Zambry berkata, bajet itu digarap mewakili denyut nadi rasa orang Kampung Ketoyong di Tanjung Malim, harapan orang Sungai Nipah, Bagan Datuk, cadangan orang Parit Haji Wahab, waima suara anak rantau Perak yang berada di menara gading dalam dan luar negara.

“Ia diolah dengan iltizam dan tujuan, demi kemakmuran dan kesejahteraan, Perak aman dan jaya,” katanya.

Di bawah peruntukan mengurus, sebanyak RM358.5 juta untuk emolument, RM259.5 juta untuk perkhidmatan dan bekalan, RM120.66 juta bagi pemberian dan kenaan bayaran tetap, RM14.5 juta untuk pembelian aset dan RM2.4 juta untuk lain-lain perbelanjaan.

Manala di bawah perbelanjaan pembangunan, RM196.16 juta diperuntukan bagi memacu ekonomi negeri, RM103.26 juta untuk memakmur, mensejahtera dan mengupayakan sara diri rakyat, RM92.26 juta disediakan bagi melahirkan masyarakat berilmu dan generasi cemerlang dan RM29.6 juta untuk kelastarian sumber dan khazanah negeri.

“Bagi tahun 2018, unjuran hasil dan terimaan pembangunan adakan sebanyak RM1.08 bilion dan insya Allah, berkat kerjasama dan komitmen semua pihak, unjuran ini akan dapat dicapai,” kata Menteri Besar.

Bercakap kepada pemberita kemudiannya, Dr Zambry berkata, walaupun unjuran awal mencatatkan defisit, tetapi berdasarkan pengalaman sejak tujuh tahun lalu, beliau yakin ia akan berakhir dengan lebihan.

“Kita akan mencari sumber baru dan menggunakan kaedah lebih kreatif untuk menambah pendapatan negeri, tanpa kenaikan cukai,” katanya sambil menambah, antara sumber pendapatan itu ialah hasil mineral dan sumber air bawah tanah.