IPOH: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu memberi jaminan, sebarang kenaikan tarif air di negeri ini tidak akan membebankan rakyat dan tidak akan memberi kesan kepada daya saing negeri dalam usaha menarik pelabur.

Beliau menjelaskan kajian semula kadar tarif air semasa tidak dapat dielakkan, susulan keputusan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) untuk menyeragamkan kadar tarif air di seluruh negara.

Menurut beliau, kerajaan negeri Pakatan Harapan komited untuk memastikan kadar kenaikan itu adalah minimum supaya tidak membebankan rakyat dan pada masa yang sama, tidak menjejaskan kos operasi para peniaga dan pemain industri.

“Banyak perkara perlu dipertimbangkan, antaranya memastikan pengguna domestik tidak terbeban, sekolah dan masjid dikategorikan dengan betul serta beberapa faktor lain.

“Di Perak, kita sering katakan mahu membawa lebih banyak industri ke sini. Jadi kalau (tarif air) naik tinggi sangat, langkah itu akan mewujudkan situasi tidak menarik buat para pemain industri.

“Ia adalah perkara yang rumit, jadi kita perlu memperhalusinya dan Lembaga Air Perak sedang membuat kajian untuk melihat kadar (kenaikan) yang munasabah,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat Exco di pejabatnya di sini, pada Rabu.

Justeru, Ahmad Faizal berkata, kerajaan negeri tidak dapat memberi komitmen untuk menurut kadar yang dicadangkan oleh PAAB bagi melindungi kepentingan rakyat dan tahap daya saing negeri ini.

“Namun dalam masa sama, rakyat harus diberi pemahaman bahawa jika tindakan (kenaikan tarif) perlu dibuat, ia atas dasar keperluan (pelarasan tarif oleh PAAB) dan bukan semata-mata untuk menyusahkan rakyat.

“Sebagai contoh, kadar Non Revenue Water (Air Tidak Terhasil) melangkaui lebih 30 peratus yang libatkan kehilangan hasil jutaan ringgit tetapi kita tak dapat kurangkan (kehilangan) itu kerana kita perlu keluarkan kos yang besar nak tukar paip baru dan sebagainya.

“Akibatnya reserve (simpanan Lembaga Air Perak) kita berkurangan sebab tarif tak naik dan jika tak baiki perkhidmatan kita, rizab kita akan semakin tahun berkurangan dan akhirnya tinggal kosong dan jadi negatif,” ujarnya.

Ahmad Faizal berpendapat, jika kenaikan tarif air tidak dibuat sekarang, ia tetap perlu dilakukan pada masa akan datang, dalam tempoh dua atau tiga tahun lagi.

“Jadi dalam apa keadaan pun rakyat perlu difahamkan mengenai kepentingan menjimatkan air,” tambahnya.