IPOH: Kerajaan negeri memberi penekanan kepada pembentukan akhlak dan pembinaan sahsiah generasi kini dengan memperkasakan Sekolah Agama Rakyat (SAR).

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam, Pembangunan Sahsiah negeri, Datuk Drs Mohd Nizar Zakaria, kajian dan semakan semula ke atas silibus sedia ada telah dilakukan pada tahun 2008 yang meliputi 8 mata pelajaran , Lughatul Quran, Jawi, Sanirah, Aqidah, Ulum Syariah, Adab dan akhlak serta al-Quran .

Katanya, kajian itu amat sesuai dengan usia murid-murid di peringkat rendah dan kurikulum yang baru digubal itu juga menekankan aspek amali dalam solat, hafazan al-Quran serta penghayatan cara hidup Islam.

“Aspek-aspek ini dinilai secara berterusan dari semasa ke semasa dan oleh yang demikian, keperluan untuk menyemak semula kurikulum ini adalah tidak sesuai kerana ianya telah dilaksanakan dalam tempoh 8 tahun sahaja,’’ katanya semasa mengulung Bajet Perak 2017 di sidang Dewan Undangan Negeri pada Jumaat.

Menurut Drs Nizar, kerajaan negeri juga sentiasa membuat pemantauan dan naziran bagi memastikan keselesaan murid dalam menjalani proses pengajaran dan pembelajaran.

Mengenai kecemerlangan pendidikan sekolah agama rakyat di Perak, beliau berkata, beberapa kursus telah dilaksanakan, antaranya kursus asas pendidikan yang dikendalikan oleh Institut Pendidikan Guru (IPG) Malaysia Kampus Ipoh.

“Kursus ini mendedahkan guru-guru dengan ilmu pedagogi pendidikan dan pengurusan pendidikan abad ke-21,” ujarnya a.

Selain itu, kata Drs Nizar, kursus kaunseling pendidikan yang dilaksanakan oleh Universiti Pendidikan Sultan Idris Tanjung Malim juga diadakan untuk membimbing guru-guru menggunakan kemahiran kaunseling dalam pengawalan kelas dan proses pengajaran dan pembelajaran.
Beliau turut menyentuh mengenai memperkasakan industri perhotelan patuh syariah, kawalan kualiti dan mempertahankan integriti halal, premis makanan hotel yang disyaratkan untuk memenuhi keperluan manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (Semakan Ketiga ) 2014.

“Pengurusan hotel disyaratkan mempunyai seorang Pegawai Eksekutif halal yang bertanggungjawab dalam semua hal ehwal halal dipremis, termasuk pengurusan dokumen.

“Ia bertujuan agar pengurusan hotel sentiasa merasakan bahawa Halalan Thoyyiban adalah identiti perkhidmatan mereka,” kata beliau.