IPOH 30 Sept. – Seramai 400 usahawan dilahirkan menerusi program keusahawanan Tunas Usahawan Belia Bumiputera (Tube) anjuran Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysian (SME Corp.) di ne­geri ini sejak 2014.

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan negeri, Asmuni Awi berkata, menerusi program tersebut, terdapat usahawan yang cemerlang apabila berjaya meraih jualan tahunan sehingga RM50 juta setahun.

Katanya, jumlah tersebut merupakan kejayaan yang membanggakan bagi generasi muda yang memilih bidang perniagaan dan keusahawanan sebagai kerjaya.

“Saya berharap program ini dipertingkatkan lagi dengan memperluaskannya di dalam pelbagai bidang. Golongan belia perlu menggunakan ke­sempatan ini untuk mendapat latihan dan mengetahui peluang perniagaan yang boleh di­terokai dan dikembangkan.

“Selain melihat potensi perniagaan di dalam negara, mereka juga boleh memperluaskan pasaran menerusi pemasaran di peringkat antarabangsa dan bagi pihak kerajaan negeri dan agensi terlibat, kita akan membantu mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (Tube) anjuran SME Corp. di Hotel M Roof di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Eksekutif SME Corp., Rizal Nainy dan Pengarah SME Corp. Perak, Mohd. Izham Abdullah.

Menurut beliau, golo­ngan usahawan ini akan terus dibantu bagi memperluaskan pasaran terutama bagi mereka yang ingin menyertai pameran di peringkat antarabangsa.

“Kekangan yang dihadapi oleh usahawan ini biasanya disebabkan oleh kos untuk menyertai pameran agak mahal selain bayaran penerba­ngan dan sewa ruang pameran.

“Oleh itu, bagi mengatasi masalah ini, mereka boleh mendapatkan dana atau menyertai pameran peringkat antarabangsa yang dianjurkan oleh kerajaan atau kerajaan turut sama terlibat dalam pameran itu,” katanya – utusan