KUALA KANGSAR: Walaupun baru berusia kurang enam bulan, kerajaan negeri Perak berjaya menarik keseluruhan pelaburan bernilai RM1.9 bilion.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata,
kerajaan negeri senantiasa prihatin dan responsif terhadap harapan dan aspirasi warga Perak yang mahu lebih banyak peluang pekerjaan diwujudkan untuk generasi belia dan mahasiswa.

Menurut beliau, bagi memenuhi harapan itu, kerajaan negeri telah menggerakkan usaha memudahcara kemasukan para pelabur dari dalam dan luar negara.

“Kerajaan negeri juga bersyukur dengan persetujuan lebih daripada 20 pengeluar komponen dari China untuk melabur di Hab Mega Komponen Automotif Bersepadu Tanjung Malim, yang dibangunkan dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Negeri Perak.

“Pelaburan ini dijangka akan mewujudkan 10,000 peluang pekerjaan baharu,” katanya ketika ucapan sembah tahniah dan taat setia sempena sambutan ulangtahun kepututeraan ke-62 Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Iskandariah, di sini, hari ini.

Ahmad Faizal berkata, keyakinan para pelabur itu diperkukuhkan hasil lawatan rasmi Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ke China, baru-baru ini.

Selain itu, kata beliau, Perak juga telah menarik pelaburan baru dari kalangan vendor komponen automotif di Proton City, Tanjung Malim.

“Usaha akan terus dipergiatkan untuk mewujudkan infrastruktur sokongan dan ekosistem kondusif untuk menjadikan Perak sebagai negeri yang benar-benar mesra pelabur,” ujarnya.

Beliau berkata, sambutan ulangtahun keputeraan Sultan Perak kali ini bertambah seri dengan kejayaan pasukan bolasepak Perak membawa pulang Piala Malaysia selepas penantian selama 18 tahun.

Menurutnya, pencapaian itu adalah pelengkap kepada kejayaan mempertahankan kejuaraan pingat emas acara bolasepak pada Sukan Malaysia (SUKMA) edisi ke-19, untuk kali ketiga berturut-turut.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal berkata, negeri Perak telah merangka misi untuk menjadikan negeri itu sebagai hub sukan dan sukan ekstrem, bukan sahaja di peringkat kebangsaan, malah di persada antarabangsa.

Menurut beliau, bagi merealisasika cita-cita itu, kerajaan negeri akan menjadikan Ipoh sebagai bandaraya sukan dan menubuhkan sebuah perbadanan sukan.

“Selain menggalakkan gaya hidup sihat dan melahirkan lebih ramai bintang sukan bertaraf dunia, ia juga bertujuan memakmurkan ekonomi rakyat melalui aktiviti pelancongan sukan,” katanya.