PANGKOR: Festival Puisi dan Lagu Rakyat (PULARA) yang dihadiri lebih 400 peserta daripada 20 buah negara baru sahaja melabuhkan tirainya pada Ahad lepas dan berjaya menaikkan Perak, khususnya Pangkor di persada kesenian dunia.

Di sebalik kisah mengenai padatnya isi perbincangan antara pengkarya dalam seminar selama tiga hari ataupun perbincangan kritikal memperjuangkan martabat bahasa Melayu, ada seorang individu yang menjadi pemangkin kepada kesemua perancangan itu.

Beliau tidak lain tidak bukan ialah Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, pejuang hak rakyat, penggemar sukan, anak nelayan dan yang diketahui umum, seorang pencinta seni tegar.

Suara Perak cuba mendapatkan pandangan beberapa peserta yang kagum dengan Dr Zambry kerana tidak pernah lekang memberi sokongan kepada PULARA, yang diketuai Sasterawan Perdana Malaysia, Malim Ghozali PK.

Di Sebalik Krisis Ekonomi Argentina, PULARA Menjadi Penghibur Hati

Pensyarah kesenian di Gildo, Argentina, Bagi Blanca Salcedo, 63, mengakui amat tersentuh dengan pendekatan Dr Zambry dalam memperjuangkan kesenian dan nilai karya tempatan dengan begitu tekun.

Katanya, Menteri Besar Perak itu merupakan seorang yang bijak membahagikan antara tanggungjawab sebagai pemimpin, serta minatnya sebagai pejuang seni, jika dibandingkan dengan pemimpin di negaranya.

“Kami di Gildo, kini berhadapan dengan pergolakan ekonomi Amerika Latin, kebajikan dan laluan bagi penyair seperti kami tentulah hanya mimpi, justeru apabila setibanya di sini, saya hampir menangis.

“Saya yakin, percayalah rakyat akan menyayangi Dr Zambry, yang dapat mendekati jiwa halus anak seni dan bersama-sama menaikkan karya tempatan melalui muzik, seni tari dan syair.

“Apa yang dilakukannya, nampak amat ringkas tetapi kami tiada sebarang peluang untuk melakukan perkara ini di tempat kami lahir, maka bersyukurlah dan bawalah tradisi PULARA ini sampai bila-bila,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Membawa PULARA Kembali ke Mongolia

Ramai yang telah mengambil ilham untuk menghasilkan karya baru daripada pulau nelayan, Pulau Pangkor, namun lain pula ceritanya bagi pengkarya terkenal, Mugi Ooyo Munkhnaran.
Berkecimpung dalam dunia syair dan puisi sejak berusia 18 tahun, Mugi yang berasal dari Mongolia Timur berkata, keseluruhan program PULARA telah memberikannya inspirasi untuk mendekati pemimpinnya, agar mereka boleh mengetuai perjuangan seni seperti Dr Zambry.

“Nice people, good food, wonderful culture and amazing leader.

“Saya akan berbincang dengan Dr Zambry agar saya boleh membawa semua ucapan dan karyanya serta perancangan PULARA ke universiti tempat saya mengajar dan seterusnya kepada pemimpin tempatan.

“Saya juga akan meminta kebenaran dan bantuan Dr Zambry agar mencipta sebuah program seperti PULARA di tempat kami sendiri, kerana kami mempunyai pelbagai budaya dan makanan, malah lagu rakyat, tetapi tiada pendekatan telus seperti ini oleh seorang pemimpin.

“Saya cukup terpegun dengan usaha Dr Zambry,” katanya yang pertama kali diundang bagi mewakili Asia Tengah.

Pensyarah dalam Bidang Puisi, Kebudayaan dan Akademik di Universiti Ulaanbaataar itu berkata, rakyat Perak seharusnya bersyukur kerana mempunyai seorang ketua yang tidak pernah mengabaikan asal-usul dan tradisi melodi serta lagu rakyat yang merupakan permulaan kepada tamadun di Malaysia.