IPOH: Kerajaan negeri menunggu arahan daripada Kementerian Kesihatan berhubung isu pembukaan semula loji rawatan air (LRA) Ayer Ganda, berikutan kenyataan Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye yang memaklumkan air di loji berkenaan masih selamat bagi kegunaan lain kecuali untuk minum dan memasak.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, berkata sebelum ini apa yang berlaku adalah Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) mengeluarkan arahan supaya LRA Ayer Ganda ditutup berikutan dicemari arsenik.

“Bagaimanapun, saya ada membaca laporan mengatakan bahawa SPAN hanya akan membenarkan loji itu dibuka semula sekiranya Kementerian Kesihatan tidak ada halangan ia dibuka semula.

“Saya mendapat makluman bahawa Timbalan Menteri Kesihatan menyatakan bahawa air loji boleh digunakan untuk kegunaan lain selain untuk diminum dan dimasak, jadi berikutan kenyataan yang dibuat itu saya fikir sudah tentu SPAN akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan dan akan mengeluarkan arahan seterusnya (untuk membuka semula loji) kepada Lembaga Air Perak (LAP),” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke Pusat Media Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

Dr Boon Chye semalam dilaporkan berkata, air LRA Ayer Ganda di Gerik boleh digunakan untuk tujuan mencuci pakaian dan mandi, bagaimanapun air dari loji tersebut masih belum dapat diminum susulan penemuan arsenik, sejenis logam berat.

Sementara itu, Ahmad Faizal berkata, kerajaan negeri ketika ini masih meneruskan langkah menyediakan tangki bekalan air sementara bagi menyediakan air bersih kepada semua penduduk sekitar kawasan terbabit buat sementara waktu sehingga saluran sambungan paip ke kawasan itu siap sepenuh sebelum sambutan Aidilfitri ini – Berita harian