IPOH: Kerajaan negeri Perak sedang meneliti kemungkinan menjalinkan hubungan dua hala yang lebih baik dengan negara Britian khususnya dalam bidang pelaburan dan pendidikan dengan mewujudkan ‘twin city’.

 

Menteri Besar Perak, YAB MB Ahmad Faizal Azumu berkata pendekatan itu dilihat sebagai langkah bijak untuk mengembalikan keyakinan Perak sebagai hab pelaburan utama buat pelabur dari Britain.

Katanya, inisiatif berkenaan juga bertujuan untuk menangani isu pelaburan dari Britain yang agak menurun kebelakangan ini.

 

“Kita mahu memulakan satu hubungan yang baru di mana YB Nizar yang memegang portfolio pelaburan akan berusaha dengan lebih gigih daripada perbincangan sebentar tadi untuk menarik lebih banyak pelaburan dari Britain ke negara ini.

“Pasa masa yang sama, kita juga akan berbincang mengenai peluang yang boleh dipelopori oleh pelabur-pelabur dari Britain khususnya dalam bidang pendidikan,”katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas Kunjungan Hormat Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia, Vicky Treadell di Pejabat Menteri Besar Perak, di sini hari ini.

 

Jelasnya beliau menyedari bahawa sebilangan besar rakyat negeri ini mempunyai kesesuaian dengan sistem pendidikan Britain.

 

Justeru, elemen itu boleh menjadi faktor utama bagi mencadangkan institusi pendidikan dari negara Barat itu untuk membuka cawangan di Perak.

 

Malah, Ahmad Faizal berkata pihaknya bersama barisan kepimpinan kerajaan negeri juga sempat membincangkan kemungkinan untuk menjalinkan hubungan di antara Perak dengan salah sebuah bandaraya di Britain sebagai Bandar Berkembar atau “twin city”.

 

Ketika ditanya mengenai punca kadar pelaburan asing menurun di Perak,Ahmad Faizal tidak menafikan ia mempunyai kaitan dengan situasi politik sebelum ini.

 

Jelasnya,arena politik Perak yang telah stabil kini membolehkan sebarang perbincangan dilakukan dan masanya telah tiba untuk menarik semula pelabur-pelabur asing dari seluruh dunia.

 

Sementara itu, Vicky berkata pihaknya bersikap terbuka terhadap cadangan untuk menjalinkan hubungan dua hala melalui kerjasama berkembar Perak-UK di masa hadapan.

 

“Saya memahami kehendak dan keperluan kerajaan baru di bawah seliaan Menteri Besar kali ini khususnya dalam bidang pendidikan, belia dan sukan serta pembangunan sumber manusia.

 

“Kita akan melihat lebih lanjut perkara itu,supaya kita boleh bekerjasama dalam bidang pendidikan, bahagian ekonomi dan sebagainya..,saya akan datang untuk bermesyuarat sekali lagi dan pada waktu itulah kita akan membincangkan cita-cita dan harapan tersebut,”ujarnya lagi.