KUALA LUMPUR: UMNO Perak mencadangkan agar kerajaan menurunkan had harga siling rumah mampu milik kepada RM250,000, seperti yang dilaksanakan di negeri Perak.

Wakil Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak, Datuk Ahmad Shalimin Ahmad Shaffie berkata, pembinaan rumah mampu milik yang dilaksanakan oleh KPKT, PRIMA, PPA1M, SPNB, dan UDA yang berharga lebih RM250,000 yang pada hakikatnya masih belum mampu dimiliki oleh Bumiputera.

Menurut beliau, kerajaan perlu tegas dalam perkara ini kerana lazimnya, GLC-GLC ini membina rumah yang kebanyakkannya di tanah-tanah yang diperuntukkan oleh kerajaan negeri dengan premium yang rendah.

“Alasannya, untuk membina rumah buat rakyat dalam kategori mampu milik. Namun harga di atas RM250,000 menyebabkan lebih ramai yang mampu marah, mampu benci dan mampu tolak kerajaan yang mentadbir hari ini,” katanya ketika berucap membentangkan Usul Ekonomi di Perhimpunan Agung UMNO di PWTC di sini pada Jumaat.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Taiping berkata, apabila soal pemilikan rumah menjadi permasalahan besar, akhirnya ia akan membentuk masyarakat yang meletakkan kesalahan dan mencari-cari kesalahan kerajaan.

Menurutnya, ditambah dengan percikan api pembangkang, ia akan meletakkan kerajaan yang tidak pernah jenuh memikirkan soal kesejahteraan rakyat, berhadapan dengan kemarahan rakyat.

Di samping itu, kata beliau, pembinaan rumah melebihi paras kemampuan, hanya akan menyebabkan perubahan demografi politik, apabila pemilikan hartanah tidak seimbang daripda komposisi kaumnya.

Sehubungan itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada Presiden parti yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di atas inisiatif menubuhkan PR1MA bagi memastikan pemilikan hartanah Bumiputera dapat dipertingkatkan.

“Kita berharap dengan cadangan menurunkan had siling harga rumah mampu milik kepada RM250,000, akan memberi ruang lebih luas kepada PR1MA menjadi peneraju usaha ini, khususnya di kawasan-kawasan luar Lembah Kelang, Johor Bharu dan Pulau Pinang,” ujarnya.

Menurut Ahmad Shalimin, inisiatif itu sebenarnya boleh dilaksanakan dan terbukti kaum Bumiputera beroleh manfaatnya, contohnya Perumahan D’Aman Meru Raya yang dibangunkan oleh Kumpulan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak di tengah-tengah kawasan pertumbuhan Meru Raya, Ipoh, pada harga RM145,000, dengan lebih 400 unit terjual dan 90 peratus daripadanya pembeli Bumiputera.

Di samping itu, kata beliau, projek perumahan Bandar Baru Setia Awan di Manjung yang dilaksanakan PKNP pada harga jualan RM150,ooo dan kesemua 1,000 unit dibeli oleh Bumiputera.

“Ini menunjukkan pada harga yang benar-benar mampu milik, Bumiputera tidak akan ketinggalan dan mereka mampu untuk membeli dan memiliki. Ini sudah pasti dapat meningkatkan pemilikan hartanah Bumiputera,” tambahnya.

Beliau turut mencadangkan antara syarikat-syarikat GLC ini perlu dibuat bagi mengoptimumkan sumber agar unjuran keperluan dapat laksanakan melihat kepada keperluan mengikut negeri dan memastikan keseimbangan demografi politik.

Di samping itu, ujarnya, pendekatan NBOS antara CLG-GLC itu bagi merangka skim yang lebih khusus, selain memastikan pembinaan rumah mampu milik ia perlu juga disertakan dengan pakej yang lebih menyeluruh termasuk pakej pinjaman, kaedah sewa beli serta saringan pemilikan.

Sambil mengucapkan terima kasih kerana pelbagai insentif yang diperkenalkan kerajaan termasuk bantuan bayaran muka bagi pemilikan rumah pertama, Ahmad Shalimin turut mencadangkan agar diperkenalkan Pakej Mesra Milik bagi semua rumah yang dibina oleh agensi kerajaan.

“Maksudnya ia mestilah menawarkan harga rumah yang berpatutan di bawah RM250,000 dan dipakejkan dengan bayaran fleksibel sama ada jumlah mahupun tempoh.

“Selagi mana isu ini tidak selesai, kita akan dilihat hanya beretorik semata-mata. UMNO perlu terus memperjuangkan perkara ini secara tuntas, dan rakyat beroleh manfaat hasil perjuangan kita,” kata beliau.