KUALA KANGSAR: Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Negeri Perak akan mencadangkan had laju kenderaan berat dikurangkan daripada 90 kilometer kepada 80 kilometer sejam, bagi mengurangkan risiko kemalangan.

Pengerusi MKJR Perak, Abdul Yunus Jamahri berkata, cadangan itu akan dibawa kepada mesyuarat MKJR Kebangsaan hujung bulan ini.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam Dan Infrasrtuktur, Pertanian Dan Perladangan negeri berkata, kerajaan negeri juga akan bekerjasama dengan semua pihak untuk mengurangkan risiko kemalangan di sekitar Terowong Menora yang telah mengorbankan banyak nyawa.

Terbaharu, Sabtu lalu, lima orang maut terbakar dalam kemalangan antara sebuah treler dengan kereta di kilometer 255.3 lebuh raya utara selatan, tidak jauh daripada terowong berkenaan.

Menurut beliau, beberapa penambahbaikan telah dilakukan di kawasan tersebut seperti pemasangan lampu limpah dan ciri-ciri keselamatan lain.

“Kita akan teruskan membuat penambahbaikan di masa yang akan datang dan kita akan bekerjasama dengan beberapa agensi untuk lebih kerap melakukan rondaan bagi memastikan kawasan tersebut selamat untuk dilalui oleh semua kenderaan, terutamanya di hujung-hujung minggu,” katanya selepas melawat mangsa di Unit Forensik Hospital Kuala Kangsar, hari ini.

Walaupun beberapa penambahbaikan telah dibuat, kata Abdul Yunus, kerajaan negeri akan terus bekerjasama dengan pelbagai pihak untuk mencari jalan mengatasi kesesakan di laluan sekitar terowong berkenaan.

“Kerajaan negeri sedia maklum tentang isu kesesakan lalulintas di kawasan sekitar Terowong Menora dan kesesakan boleh dikatakan berlaku hampir setiap minggu, terutamanya di hujung minggu, sama ada ke arah utara ataupun ke selatan.

“Kita akan bekerjasama dengan beberapa pihak untuk membuat kajian tentang kemungkinan kita akan membuka laluan baru contohnya dan mencari jalan alternatif bagaimana kita nak mengurangkan masalah kesesakan trafik di kawasan tersebut pada masa yang akan datang,” ujarnya.

Dalam hubungan ini, kata beliau, kerajaan negeri akan mengkaji semula cadangan untuk membina lebuh raya baru yang menghubungkan jelapang ke selama dan akan buat pertimbangan untuk melihat kesesuaian projek tersebut, khususnya kemampuan dari segi kewangan.

Bagaimanapun, tambahnya, pembinaan Lebuh Raya Pesisiran Pantai Barat (WCE) dari Banting, Selangor ke Taiping, Perak juga dilihat sebagai alternatif yang mampu mengurangkan kesesakan lalulintas di lebuhraya PLUS.

WCE sepanjang 233 kilometer dan dibangunkan sejak 2014 itu, dikatakan telah siap lebih 50 peratus setakat ini.