IPOH: Kerajaan negeri Perak bercadang untuk memastikan semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri ini dan pengguna mendapatkan kelulusan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebelum menaikkan papan tanda, papan iklan dan kain rentang dalam Bahasa Melayu.

Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu berkata, beliau dimaklumkan oleh Ketua Pengarah DBP, Datuk Abdul Adzis Abas bahawa sehingga sekarang ini semua papan tanda yang diluluskan oleh PBT di negeri ini masih tidak memerlukan kelulusan daripada DBP, khususnya dari segi penggunaan bahasa.

Bagaimanapun, kata beliau, cadangan itu akan dibincangkan terlebih dahulu di dalam mesyuarat Exco kerajaan negeri secepat mungkin.

“Insya Allah, saya tak dapat pastikan atau sebut berkuatkuasa daripada bila kerana sebaiknya perkara ini saya perlu bawa dalam mesyuarat majlis kerajaan negeri dan selepas itu kita putuskan tarikh untuk semua perkara dapat dilaksanakan,” katanya kepada pemberita selepas majlis penutup dan penyampaian hadiah Pertandingan Forum Institut Pendidikan Guru (IPG) Peringkat Kebangsaan Kali Ke-8, Piala Menteri Besar Perak di IPG Kampus Ipoh di sini, pada Khamis.

Ahmad Faizal berkata, penggunaan bahasa dialek seperti “Moh Kita ke Perak” masih boleh digunakan tetapi hendaklah dibuat di dalam koma bertindih (inverted comma).

“Kita maksudkan apabila penggunaan bahasa rasmi, majlis perasmian, pelancaran projek perumahan dan sebagainya, perkataan bahasa, penggunaan bahasa tu hendaklah ianya bertepatan dengan Bahasa Melayu itu sendiri. Jadi kita bolehlah bekerjasama dengan DBP dalam soal ini,” ujarnya.

Menteri Besar berkata, beliau beranggapan bahawa sebelum ini memang menjadi salah satu syarat untuk mendapatkan kelulusan DBP terlebih dahulu dan tidak menyangka sebenarnya ia tidak pernah dilaksanakan.

Beliau memberi contoh, kedai jahit wanita, yang ternyata salah dari segi bahasa yang sepatutnya tidak berlaku dan perlu diperbaiki.

“Jadi saya fikir elokkan kita martabatkan penggunaan Bahasa Melayu kita dengan cara yang betul. Bukan kita menolak bahasa lain tetapi menggunakan bahasa melayu dengan betul dan tepat,” tambahnya.

Mengenai papan tanda dan papan iklan yang lama, beliau berkata, PBT perlu bekerjasama dengan DBP dan mencari jalan bagaimana untuk memperbetulkannya.

“Dalam keadaan itu kita perlulah bekerjasama dengan orang ramai, peniaga-peniaga yang menggunakan papan tanda-papan tanda ini dan juga dengan pihak Dewan Bahasa dan Pustaka untuk kita perbetulkan keadaan, bukan untuk menghukum, mendenda dan sebagainya. Banyak cara yang boleh kita lakukan untuk maju ke depan,” kata beliau.

Sementara itu, Abdul Adzis menyambut baik pengumuman Menteri Besar Perak itu, yang disifatkan sebagai usaha untuk memartabatkan Bahasa Melayu di peringkat PBT.

Beliau memberitahu, setakat ini, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang telah mensyaratkan kelulusan daripada DBP untuk papan tanda, papan iklan dan kain rentang di seluruh ibu negara.

Menurutnya, kadar bayaran hanya RM10 dikenakan untuk setiap permohonan yang boleh dibuat secara dalam talian atau datang sendiri ke pejabat DBP.