LEKIR: Kerajaan negeri akan mempertimbangkan cadangan untuk membina sebuah kawasan perumahan khas bagi mengatasi masalah penduduk yang sering terjejas berikutan banjir di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, cadangan tersebut adalah antara kaedah bagi membantu mangsa yang terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara setiap kali berlaku banjir.

Menurut beliau, sebelum ini kerajaan negeri telah membelanjakan peruntukan yang banyak bagi kerja-kerja mendalamkan sungai, namun ia dilihat tidak dapat menyelesaikan masalah secara keseluruhan.

“Buat masa ini, kita masih perlu mengadakan perbincangan keperluan untuk mereka dipindahkan ke kawasan perumahan baru,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan ke Rumah Orang Susah sempena Tahun Baru Cina, di Kg Kayan, di sini pada petang Khamis.

 

penempatan baru kg kayan

Terdahulu beliau melawat pusat pemindahan sementara mangsa banjir di Sekolah Agama Rakyat Kampung Padang Serai di Pantai Remis.

Dr Zambry berkata, berdasarkan lawatannya ke kawasan terjejas banjir, beliau mendapati terdapat kawasan tertentu yang perlu dinaikkan ke paras lebih tinggi.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan negeri masih meneliti keperluan untuk kerja-kerja melebar dan mendalamkan sungai, bagi membolehkan aliran air di kawasan terjejas berjalan dengan lebih lancar.

Beliau turut mengarahkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk mengemukakan cadangan memandangkan kos untuk memperbaiki aliran sungai di Sungai Beruas sehingga ke muara Pantai Remis agak tinggi.

Beliau memberitahu, setakat ini pihak JPS hanya mengendalikan kawasan sungai tersebut sebanyak 60 kaki daripada 100 kaki keluasan sedia ada kerana ia membabitkan jajaran yang sangat panjang.

Menjawab mengenai pertanyaan pampasan dan ganti rugi kepada petani yang mengalami kerugian teruk kerana kerosakan tanaman, Dr Zambry berkata perkara itu akan dibincangkan lebih lanjut dengan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Sehingga jam 8 malam Khamis, sebanyak Sembilan pusat pemindahan sementara masih dibuka di seluruh negeri yang menempatkan seramai 522 mangsa banjir daripada 151 keluarga.