IPOH – Kerajaan negeri Perak bercadang untuk meminda Seksyen 23 Undang-undang Keluarga Islam 2004 bagi memudahkan urusan pihak yang mahu melakukan poligami dan mengurangkan kes pernikahan poligami luar negara.

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Pendidikan Islam, Industri, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan Asmuni Awi berkata, ketika ini di bawah seksyen berkenaan, mahkamah terikat untuk membuat sebarang keputusan selagi isteri pertama tidak hadir untuk mendapatkan penjelasan seperti diwajibkan.

“Di bawah seksyen ini, kehadiran isteri pertama itu diwajibkan untuk mahkamah menemubual dan minta penjelasan isteri berkenaan, kadang-kadang ada kes Isteri setuju untuk suami berpoligami namun keberatan untuk ke mahkamah.

“Jadi jika seksyen itu dipermudahkan seperti menukar perkataan “diwajibkan” menjadi “bolehlah” maka mahkamah boleh guna budi biacara sama ada hendak panggil isteri pertama itu atau tidak untuk memudahkan proses poligami berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan penutupan Seminar Mendepani Cabaran Keibubapaan di sini pada Selasa.

Tambah beliau, pindaan itu juga sekali gus akan mengurangkan jumlah kes pernikahan poligami luar negara yang ketika ini merupakan antara penyumbang terbesar terhadap jumlah keseluruhan kes pernikahan penduduk negeri ini di luar negara khususnya di Selatan Thailand.

Dalam majlis sama, Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) secara rasminya melancarkan modul kefahaman poligami yang merangkumi slot seminar kekeluargaan, kursus pasca kekeluargaan dan praperkahwinan yang pertama di negara ini.

Pengenalan modul itu bertujuan memberi kefahaman jelas mengenai poligami sekali gus dapat mengurangkan permasalahan kekeluargaan dalam institusi poligami.

Sementara itu, Asmuni turut melancarkan laman web mencari jodoh, Cinta Sakinah yang dibangunkan oleh Jaipk bagi memudahkan orang ramai mencari pasangan hidup masing-masing.

Beliau berkata, Cinta Sakinah akan menjadi medium kepada orang ramai untuk mencari jodoh melalui beberapa kaedah khas yang disediakan di dalam laman web berkenaan.

“Di luar sana mungkin ada beberapa laman web seumpama ini, ia untuk memudahkan lagi orang ramai mencari jodoh bagi pasangan yang berlum berkahwin, laman web ini akan bantu memadankan mereka.

“Sekali imbas kandungan di dalam laman web ini amat menarik dan amat membantu dalam memudahkan buat penyesuaian di antara pasangan-pasangan untuk mencari jodoh dan memudahkan pilihan masing-masing,” ujarnya.