TELUK INTAN– Kerajaan negeri Perak sedang merangka cadangan untuk memindahkan penduduk yang sering terjejas akibat banjir saban tahun di sekitar Changkat Jong.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sahsiah, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat negeri, Wong May Ing berkata, cadangan itu bagi menyelesaikan masalah banjir yang berulang akibat dari limpahan air Sungai Bidor.

“Kita ambil prihatin terhadap mangsa yang selalu hadapi masalah yang sama dan sekarang dalam perbincangan bagaimana untuk pindahkan mereka ke tempat lain.

“Memang ini dalam rangka kerja kita, ia dibincangkan di peringkat daerah bersama agensi yang berkenaan. Kemungkinan akan dilaksanakan pada pertengahan tahun hadapan.

‚ÄúSetakat ini banjir cuma di dua kawasan di Hilir Perak sahaja, namun kita memang bersiap sedia untuk sebarang kemungkinan di tempat lain termasuk di tempat lain seperti Kerian dan Trong,” katanya kepada pemberita ketika meninjau keadaan mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) SK Changkat Jong, di sini pada Jumaat.

Menurutnya, setakat ini bilangan mangsa banjir di daerah Hilir Perak berjumlah 205 orang dari 57 keluarga yang ditempatkan di dua PPS iaitu SK Changkat Jong dan Dewan Perbandaran Teluk Intan (MPTI), Taman Desa Aman.

Mangsa yang ditempatkan di PPS SK Changkat Jong berjumlah 171 mangsa dari 48 keluarga manakala di Dewan Perbandaran Teluk Intan pula seramai 34 orang dari sembilan keluarga.

Sementara itu, Suara Perak berkesempatan menemubual salah seorang mangsa banjir yang juga ibu kepada bayi kembar iaitu Syakir dan Syahir berusia 7 bulan.

Sapina Bakri, 27, dari Changkat Jong berkata, dia terpaksa menghadapi situasi banjir setiap tahun yang menyebabkan semua harta benda musnah akibat ditenggelami air.

“Masuk hari ini sudah tiga hari saya di sini (PPS), kali ini paling teruk sebab rumah kami agak rendah dan dinaiki air sampai paras pinggang, barang rumah tak sempat nak selamatkan.

“Banjir berlaku waktu malam, kami selamatkan apa yang penting sahaja, harap kerajaan boleh buat sesuatu untuk kami sebab selalu sangat masalah ini berlaku, kalau boleh pindah…kami nak pindah,” ujar ibu kepada lima orang anak ini.

Dalam pada itu, Jeffri Darus, 32, turut mengharapkan pihak berkaitan melihat masalah yang membelenggu penduduk sekitar Changkat Jong sejak sekian lama.

“Dengar khabarnya kami nak dipindahkan di Kampung Ayer Hitam tapi tak tahu bila. Kami memang dah tak tahan dengan keadaan macam ini.

“Rumah kami dekat dengan pelupusan sampah dan sungai, dua tiga kali banjir dalam masa setahun, barang rumah habis walaupun kami cuba selamatkan,” katanya yang menyara hidup dengan bertani.