IPOH: Kerajaan negeri Perak membayangkan kemungkinan untuk terus mengekalkan status Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) di negeri ini walaupun terdapat cadangan awal untuk menjadikannya Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK).

Perak mempunyai tiga buah SMAN iaitu Sekolah Izzuddin Shah (SIS), Sekolah Raja Perempuan Taayah dan Sekolah Menengah Raja Dr Nazrin Shah.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Dan Pendidikan Islam, Luar Bandar Dan Pembangunan Usahawan negeri, Asmuni Awi berkata, beberapa penambahbaikan perlu dilakukan, seperti menambah bilangan guru tetap.

“Saya difahamkan masih ada guru kontrak dan saya akan panjangkan isu ini kepada Kementerian Pendidikan untuk pastikan sekolah-sekolah ini mempunyai guru-guru yang mencukupi,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Apriasi dan Graduasi SIS di sini, hari ini.

Hadir sama Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Mohd Yusop Husin; Pengetua SIS, Omar Bakar dan Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SIS, Dhohiri Abdul Samad.

Asmuni berkata, sejak SIS dibina kira-kira 60 tahun lalu, SIS telah melahirkan ramai tokoh terkenal seperti bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Dr Muhammad Nur Manuthy dan Datuk Dr Siddiq Fadzil.

Beliau yang juga bekas pelajar sekolah itu yakin, SIS akan terus cemerlang di masa-masa akan datang.

Dalam hubungan ini, beliau menyarankan agar pihak ibu bapa dan PIBG sentiasa berbincang dengan guru-guru untuk membantu mengatasi masalah pelajar dan sekolah.

Bagi tujuan itu, kata Asmuni, kerajaan akan memikirkan kemudahan yang lebih baik supaya ibu bapa lebih selesai berada di sekolah, seperti pembinaan kantin awam.

Buat masa ini SIS mempunyai 76 orang guru dengan 574 pelajar, termasuk 46 pelajar Tingkatan 6.