SITIAWAN: Jabatan Perhutanan Negeri Perak (JPNPk) telah menanam lebih 1.12 juta pokok sejak lebih 12 tahun lalu bagi mengurangkan hakisan tanah selain menampan kekuatan ombak dan angin kencang
di sepanjang persisiran pantai di negeri ini.

Timbalan Pengarah Operasi JPNPk, Ramli Mat berkata, semua pokok berkenaan ditanam melalui program penanaman bakau dan spesies-spesies yang sesuai sejak tahun 2005 sehingga Oktober lepas di kawasan seluas 320 hektar di seluruh negeri Perak.

“Tujuannya antaranya adalah bagi memulihkan habitat persisiran pantai yang menjadi koridor kepada kepelbagaian biodiversiti serta memperkayakan sumber hasil pantai selain meningkatkan kualiti alam sekitar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Tanggungjawab Sosial Korporat Penanaman Pokok Persisiran Pantai JPNPk dengan kerjasama Institut Rimbawan Malaysia (IRIM) dan Majlis Perkayuan Malaysia (MTC) di Hutan Simpan Lekir di sini, semalam.

Program itu turut disertai oleh ahli Pertubuhan Sahabat Hutan Bakau Lekir Setiawan dan 50 pelajar Sekolah Agama Bantuan Kerajaan Maahad Islahiah Addiniah.

Sebanyak 1,000 pokok bakau kurau dan minyak ditanam di kawasan hutan jenis paya laut seluas 0.1 hektar pada program tersebut.

Ramli berkata, menerusi program itu, JPNPk dapat menjalinkan kerjasama dengan pelbagai syarikat swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) serta orang awam dalam merangka usaha mendidik anggota masyarakat mengenai fungsi dan peranan pokok bakau di persisiran pantai.

Katanya, sehingga Oktober lepas, keluasan kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) termasuk cadangan kawasan HSK adalah seluas 1,000,143.47 hektar iaitu 47.58 peratus daripada keluasan negeri Perak.

“HSK boleh dikategorikan kepada dua iaitu Hutan Pengeluaran yang boleh dibalak secara komersial serta Hutan Perlindungan iaitu tidak dibenarkan sebarang aktiviti pembalakan,” katanya.