IPOH: Perak berjaya mencatatkan belanjawan surplus lapan tahun berturut-turut sejak 2010, walaupun bajet asal yang dibentangkan adalah bajet defisit.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, terbaharu, Perak mencatatkan jumlah keseluruhan lebihan RM5.64 juta tahun 2017, berbanding RM4.42 juta tahun 2016.

Menurut beliau, peningkatan hasil negeri Perak juga meningkat sebanyak 67 peratus daripada RM642 juta pada tahun 2009 kepada RM1.07 juta tahun lalu.

Dalam masa sama, katanya, rezab negeri juga meningkat daripada  RM762 juta pada 2010 kepada RM1.10 bilion pada tahun 2017.

Dr Zambry berkata, kejayaan itu adalah hasil kerja sepasukan semua pihak, sejak Barisan Nasional (BN) mengambil alih tampuk pemerintahan negeri ekoran krisis yang berlaku pada tahun 2009.

“Alhamdulillah, selepas setahun demi setahun, walaupun ketika itu ada yang kata bahawa kerajaan kita ini mungkin akan bertahan hanya dalam tempuh tiga bulan, ada yang berkata pelaburan akan lari dari negeri Perak, ada yang kata pada pilihan raya yang akan datang, kerajaan ini tidak akan mampu bertahan dan akan tumbang,’ katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Executive Talk & Perutusan Tahun Baru 2018 di Ipoh Convention Centre di sini, pada Selasa.

Dalam ucapan yang bertajuk Meraikan Kejayaan, Meningkatkan Kecemerlangan, Dr Zambry berkata, berkat kesabaran, kesungguhan dan prinsip kerjasama di kalangan penjawat awam, kerajaan negeri dapat meneruskan pentadbirannya dengan baik.

Sambil mengucapkan terima kasih kepada penjawat awam, beliau memberitahu, sejak tahun 2009 hingga 2016, Perak menerima pelaburan berjumlah RM19.4 bilion yang menjana lebih 40,000 peluang pekerjaan.

Beliau menambah, dalam tempoh yang sama, kadar pengangguran juga dapat dikurangkan daripada 3.8 peratus kepada 3.4 peratus manakala purata pendapatan isi rumah juga meningkat daripada RM2,809 kepada RM5,065.

Menteri Besar memberitahu, sebanyak RM45,515 unit perumahan rakyat telah dibina oleh pelbagai agensi kerajaan negeri dan Persekutuan seperti Yayasan Bina Upaya, Perbadanan Kemajuan Negeri Perak, PR1MA dan swasta.