IPOH: Kerajaan negeri Perak mempergiatkan usaha untuk merealisasikan sebuah pusat bandar pintar (smart city) di negeri ini.

Exco Komunikasi, Multimedia dan NGO Perak, Hasnul Zulkarnian Abd Munaim berkata, bagi merancakkan lagi usaha, kerajaan negeri dengan kerjasama pelbagai jabatan dan agensi melaksanakan program hebahan perancangan Bandar Pintar Malaysia Peringkat Negeri Perak.

Menurut beliau, program itu merupakan salah satu langkah bagi memberi panduan ke arah perancangan, pelaksanaan dan pembangunan bandar pintar di negeri ini.

Katanya, terdapat empat teras strategik inisiatif digital Perak yang menjadi panduan kepada pembangunan teknologi di dalam negeri iaitu membudayakan kehidupan digital, pemusatan ekonomi digital, digitalisasi kerajaan negeri Perak dan implementasi bandar pintar.

“Rangka Kerja Pembangunan Bandar Pintar Malaysia 2018 – 2025 dijadikan rujukan untuk pelaksanaan bandar pintar yang sistematik.

“Rangka kerja bandar pintar terdiri daripada tujuh kompenen yang menjadi indikator dalam menilai dan mengukur prestasi bandar ke arah mencapai visi sebuah bandar pintar iaitu smart economy, smart living, smart environment, smart people, smart goverment, smart mobility dan smart digital infrastructure,” katanya ketika berucap merasmikan program itu, hari ini.

Mengulas lanjut, Hasnul berkata, pelaksanaan bandar pintar menjadi sebuah solusi untuk membendung dan menangani isu-isu perbandaran seperti masalah pengangkutan dan kemudahan tempat tinggal.

Program hebahan tersebut merupakan kerjasama antara PLANMalaysia (Jabatan Perancangan Bandar dan Desa) dan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).