IPOH: Perak secara rasmi mendapat Ketua Polis Negeri dan Timbalan Ketua Polis Negeri yang baharu, serentak pada Selasa.

Datuk Razarudin Husain dilantik menjadi Ketua Polis Perak manakala Datuk Lim Hong Shuan sebagai Timbalan Ketua Polis Perak.

Majlis pemakaian pangkat Komisioner Polis (CP) Ketua Polis Perak dan serah terima tugas jawatan Timbalan Ketua Polis Perak diadakan di Ipoh, disempurnakan Pengarah Jabatan Intergriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Zamri Yahya.

Zamri berpendapat, gandingan kedua-dua mereka akan menampakkan lebih banyak anjakan ke arah yang lebih positif untuk memberi perkhidmatan kepolisan kepada Perak.

“Datuk Razarudin seorang yang banyak pengalaman dari segi tugas-tugas khas dan banyak mengendalikan kes berprofil tinggi, jenayah di samping pengalaman pengurusan kerana pernah menjadi Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah. Beliau telah berkhidmat lebih 30 tahun dalam PDRM.

“Datuk Lim Hong Shuan pula memulakan khidmat sebagai pegawai Cawangan Khas sebelum ke JIPS Bukit Aman.

“Jadi kombinasi mereka dapat meletakkan seluruh lapisan pegawai dan anggota PDRM Perak di landasan yang betul,” katanya dalam sidang media selepas majlis itu di Mes Pegawai Kanan Polis di sini.

Razarudin sebelum ini adalah Timbalan Ketua Polis Perak manakala Hong Shuan adalah Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pematuhan Standard JIPS Bukit Aman.