LENGGONG: Perak yang mencatatkan hasil ikan air tawar sebanyak RM290 juta setahun, diiktiraf sebagai penyumbang terbesar kepada pengeluaran ikan berkenaan di negara ini.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, pada tahun lalu, sebanyak 103,000 tan metrik atau RM789 juta ikan air tawar telah dihasilkan di Malaysia dan 35 peratus daripadanya adalah dari negeri ini.

Menurut beliau, pengeluaran ikan air tawar di Perak adalah dari industri ternakan akuakultur yang menyumbang lebih 40,000 tan metrik setahun.

“Ianya disokong dengan aktiviti perikanan darat di mana sebanyak 850 tan metrik ikan sungai bernilai RM12.7 juta pada tahun 2016 telah berjaya didaratkan dan sebanyak 2.26 juta ekor benih ikan dilepaskan di perairan sungai dan tasik di seluruh Perak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Fiesta Ikan Sungei Lenggong 2017 di Dataran Tasik Raban di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pertanian, Perladangan, Penerangan dan Pembangunan Modal Insan negeri, Datuk Saarani Mohamad; Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Shamsul Anuar Nasarah dan Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Munir Mohd Nawi.

Dalam pada itu, Ahmad Shabery berkata, statistik Jabatan Perikanan Malaysia menunjukkan bahawa Perak turut mencatatkan pendaratan ikan laut tertinggi di Malaysia iaitu sebanyak 370,000 tan metrik ikan yang bernilai RM2.2 bilion pada tahun 2016.

Lebih 5,000 pengunjung membanjiri Fiesta Ikan Sungei Lenggong yang dianjurkan selama tiga hari bermula semalam (Jumaat).

Pelbagai aktiviti disediakan sepanjang program berkenaan termasuk pertandingan memancing, pameran jabatan serta agensi kerajaan dan pertandingan memasak.

Antara selebriti dan tokoh terkemuka yang hadir memeriahkan fiesta tersebut ialah Chef Adu Amran, Nubhan dan Datuk Ustaz Kazim Elias.

Ahmad Shabery berkata, fiesta yang julung-julung kalinya diadakan itu merupakan usaha kerajaan mempromosi ikan air tawar yang menjadi sumber protein penting sebagai hidangan utama kepada masyarakat setempat.

“Ianya dapat meningkatkan lagi kesedaran masyarakat untuk menerima ikan air tawar sebagai pilihan utama sumber protein yang masih murah dan boleh dipercayai berbanding protein lain.

“Jadi kita mengadakan fiesta ini untuk mewujudkan kesedaran itu dengan menyusun program-program yang bermuka sejak semalam sehingga esok,” ujar beliau.