IPOH : Kerajaan negeri sedang berusaha mencari peluang untuk membangunkan Perak sebagai pusat pelancongan perubatan yang utama di negara ini.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata Perak mempunyai potensi besar dalam industri berkenaan hasil daripada jumlah doktor pakar bertaraf nasional serta antarabangsa yang tinggi di negeri ini.

“Ketika ini Penang mendapat manfaat itu dan berkemungkinan kita boleh bekerjasama dengan Penang untuk membangunkannya.

“Kerana kita juga mempunyai ramai doktor pakar yang hebat sama ada di peringkat nasional atau antarabangsa jadi kita boleh gunakan potensi ini sebaiknya,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat exco, di sini pada Rabu.

Tambah beliau, pada peringat awal ini pihak kerajaan negeri akan memberi fokus kepada pelancong perubatan khususnya daripada Indonesia.

“Kita akan adakan perbincangan dengan pihak penerbangan khususnya dari Indonesia untuk menawarkan perkhidmatan mereka di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah Ipoh.

“Sebelum ini ada tapi masalahnya ialah kekurangan penumpang dari Ipoh untuk ke Medan dan mungkin kali ini kita boleh berbincang mencari kaedah paling sesuai bagi memastikan mereka tidak rugi,” jelas beliau.

Beliau turut memberitahu Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi telah diminta untuk ke Indoensia bagi melihat perkembangan serta potensi yang ada bagi merealisasikan misi kerajaan negeri itu.