GERIK – Pemerkasaan atlet di peringkat akar umbi menjadi agenda Kerajaan Perak sebagai usaha melahirkan ahli sukan yang berwibawa untuk mewakili negeri dan negara.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Pembangunan Modal Insan negeri, Howard Lee Chuan How berkata, bagi tujuan itu Program Talent Outreach di bawah Institut Sukan Negara (ISN) pendekatan terbaik dalam memberi pendedahan kepada bakat baharu yang menitikberatkan aplikasi sains dan perubatan sukan.

Beliau berkata, program itu juga dapat mewujudkan komuniti luar bandar sihat bersukan di samping membendung gejala yang negatif dalam kalangan generasi muda.

“Pencungkilan dan pembangunan bakat menjadi agenda penting selari dengan hala tuju kerajaan negeri dalam memperkasakan sukan di negeri ini pada masa depan,” katanya ketika berucap merasmikan Pusat Latihan Talent Outreach di Dewan Terbuka Maahad Tahfiz Pondok Air Jernih dekat sini, baru-baru ini.

Selain itu, Chuan How berkata, sesuatu gelanggang sukan yang diwujudkan hendaklah dapat digunakan ke arah melestarikan persekitaran sukan yang positif di samping memanfaatkan masyarakat setempat.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ISN, Dr Mohd Khairi Zawi berkata, Talent Outreach inisiatif Kementerian Belia dan Sukan bagi menyediakan platform pembangunan bakat sukan dalam kalangan komuniti luar bandar dan golongan B40.

“Peserta akan didedahkan dengan pelbagai pengetahuan strategik berkaitan sukan, bukan sahaja dalam aspek yang boleh memanfaatkan fizikal dan mental tetapi juga aplikasi sains, perubatan dan teknologi sukan,” katanya.

Menurut Mohd Khairi lapan jenis sukan dipilih di pusat Talent Outreach tersebut iaitu bola sepak, silat, karate, renang, badminton, memanah, olahraga dan ragbi.

“Pemilihan Gerik sebagai pusat memanah kerana adanya jurulatih yang mempunyai pengalaman dan kelayakan dalam melatih anak-anak muda di sini,” katanya.

Beliau berkata, aktiviti memanah dapat membantu individu membentuk emosi positif,  sabar dan berdisiplin tinggi selain membantu mengatasi rasa ketakutan serta membentuk keyakinan diri.

“Kita harapkan sokongan positif ibu bapa untuk penglibatan anak-anak mereka dalam sukan ini sekali gus membudayakan sukan dalam kalangan rakyat dan sekali gus melahirkan atlet untuk negara. – Bernama