IPOH: Perak menggalakkan penggunaan produk biodegradasi (mudah kompos dan mesra alam) bagi mengurangkan jumlah sisa pelupusan sampah selain menjimatkan kawasan tapak pelupusan.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan , Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Datuk Dr Muhammad Amin Zakaria, usaha itu bukan untuk membebankan rakyat tetapi bagi membantu mengekalkan kehijauan persekitaran sedia ada.

“Ia boleh digunakan secara meluas sebagai pengganti kepada beg plastik dan polisterina dan produk ini merupakan sumber dari bahan boleh diperbaharui seperti sumber tumbuhan jagung, ubi kayu, tebu dan kelapa sawit,” ujarnya ketika ucapan penggulungan di Sidang DUN pada Isnin.

Beliau berkata, langkah itu juga bertepatan dengan cadangan kempen kesedaran pengurangan beg plastik dan polisterina di Perak.

“Beg plastik adalah bahan yang diperbuat daripada bahan kimia berbahaya dan sukar dilupuskan manakala bekas plastik turut mengandungi bahan logam berbahaya seperti cadmium yang digunakan sebagai platisizer.

“Secara semulajadinya ia mengambil masa kira-kira 500 tahun untuk dimusnahkan, malah hasil kajian yang dilakukan oleh Institute for Energy and Environmental Research (IEER) pada tahun 1992 mendapati polisterina daripada hyrorcloroflourocarbon (HCC-22) tiga hingga lima kali ganda berbahaya baginalam sekitar,” ujarnya.

Dr Amin menjelaskan, Perak sepatutnya mencontohi kejayaan negara maju seperti Singapura, Taiwan, Kanada, China dan Ireland serta negara membangun seperti Bangladesh yang telah lama melaksanakannya.