IPOH: Selaras dengan peraturan larangan merokok di premis makanan mulai 1 Januari lalu, kerajaan negeri Perak akan menggerakkan kempen berhenti merokok di negeri ini secara besar-besaran.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, inisiatif itu akan dilaksanakan secara bersungguh-sungguh sepanjang tahun ini bagi menggalakkan budaya hidup sihat di kalangan rakyat.

Menurut beliau, antara langkah yang dilakukan ialah meletakkan logo kempen berhenti merokok pada jersi pasukan bola sepak Perak yang akan menyertai Kejohanan Piala Juara-Juara Asia (AFC).

“Jadi kempen kita untuk berhenti merokok ini dapat dilakukan kepada manusia sejagat bukan di Perak sahaja kerana ia perkara baik.

“Apabila bermain di peringkat Asia nanti semua orang akan nampak negeri Perak membawa mesej berhenti merokok,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Jom Sihat bersama Ahli Parlimen Tambun di SJKC Chong Hwa Kanthan Baru, di sini, pada Ahad.

Ahmad Faizal berkata, pelancaran rasmi kempen tersebut dijangka akan dibuat bersama-sama dengan pelancaran jersi dan memperkenalkan pemain Perak serta PKNP FC, hujung bulan ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tambun yakin, para perokok boleh berhenti merokok, seperti yang dilakukannya sendiri.

“Saya sendiri seorang perokok tegar selama puluhan tahun. Jika saya boleh lakukan semua orang boleh lakukan dengan berhenti merokok.

“Saya sendiri merasakan dengan berhenti merokok saya rasa lebih sihat, lebih cergas dan berfikir dengan lebih baik,” ujarnya.