: Satu lagi tarikan baharu bakal muncul di Perak berikutan projek T-City yang kini sedang giat membangunkan bandar permotoran di Kampar, dekat sini.

‎Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata ‎projek tersebut yang mengetengahkan pembangunan intergrasi moden turut akan menempatkan pusat sukan permotoran termasuk litar lumba F2.

 Katanya projek itu bakal menjadi pusat pemotoran pertama seumpamanya di Asia Tenggara.

 “Fasa pertama perlaksanaannya melibatkan bandar permotoran di Kampar yang sudah pun dimulakan dan sebuah litar lumba sementara, ‎selain sebuah taman tema yang akan siap menjelang tahun depan, sesuai dengan berlangsungnya Tahun Melawat Perak,” katanya.

 Beliau berkata, projek bernilai RM15.1 bilion itu yang merupakan satu lagi inisiatif kerajaan negeri dalam mengantarabangsakan negeri ini.

“Litar ini akan dibuka kepada semua bagi mereka yang berminat dalam sukan permotoran. Inilah treknya. Ia bukan sahaja boleh digunakan untuk kejohanan antarabangsa tetapi orang ramai yang berminat untuk berlumba kereta boleh juga menggunakannya,” katanya.

Dr Zambry berkata demikian kepada pemberita selepas memyempurkan Majlis Pecah Tanah Projek T-City di Gopeng pada Jumaat. Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Abdul Puhat Mat Nayan dan Pengerusi  Eksekutif Goodland Group Limited, Tan Chee Beng.

 Menurut beliau, projek pembangunan T-City  akan dibangunkan secara kerjasama oleh sebuah syarikat dari Singapura, Goodland Group Limited dan Citrine Capital Pte Ltd.

“Projek ini telah di rancang tiga tahun lalu apabila sekumpulan pelabur datang untuk menyatakan hasrat mereka dan mengemukakan cadangan ini.

Perak bandar permotoran
Perak bandar permotoran
Perak bandar permotoran
Perak bandar permotoran

“Ia juga telah telah melalui proses perbincangan dan berjaya meyakinkan termasuk juga dibentangkan kepada Majlis Ekonomi di Putrajaya kerana pihak Kerajaan Persekutuan menganggap ini adalah sebuah projek yang besar pelaburannya daripada pihak swasta,” ujarnya.

Menurut beliau, pembukaan litar sementara ini akan menjadi satu lagi  kawasan tarikan pelancong di negeri Perak selaras dengan Tahun Melawat Perak tahun 2017.

“Selain litar, akan ada Taman Tema Air di Meru  yang  akan bermula tahun depan dan dijangka dapat menarik ramai pengunjung luar ke negeri Perak,’’ katanya.

Sementara itu  Pengerusi Eksekutif Goodland Group Limited, Tan Chee Beng berkata, lima teras utama T-City terdiri daripada kemudahan sukan permotoran, hub hiburan, pusat automotif, rangkaian peruncitan, hotel, apartmen, kodominium, kemudahan dan infrastruktur seperti terminal pengangkutan darat, stesen minyak, taman sekolah dan hospital.

“Projek pembangunan berskala besar ini bukan sahaja akan menjana pertumbuhan ekonomi negeri dan negara malah menyediakan banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Perak,’’ katanya.