IPOH: Perak telah menggugurkan sekurang-kurangnya seorang atlet yang didapati positif dalam saringan ujian antidoping luar pertandingan sebelum temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XIX berlangsung.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan negeri, Howard Lee Chuan How berkata, sebagai tuan rumah, Perak mengambil pendekatan lebih proaktif menjalankan saringan doping pra temasya melibatkan 100 ujian secara rambang.

Menurut beliau, atlet berkenaan telah digugurkan dan ujian itu dijalankan kepada atlet semua jenis sukan.

“Ini adalah pendekatan kerajaan negeri Perak kerana kami adalah tuan rumah dan kami tidak ingin ada sebarang ruang dan peluang untuk memalukan negeri Perak mahupun SUKMA,” katanya pada sidang media di Pusat Media SUKMA XIX di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

Howard Lee bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai bilangan sebenar atlet yang terbabit dan jenis sukan yang mereka sertai.

Menurut beliau, isu doping bukan sahaja melibatkan mereka yang mengambil bahan terlarang secara sengaja, sebaliknya ada juga yang mengambilnya secara tidak sengaja.

“Contohnya ada ibu bapa atau saudara mara yang beri ubat-ubat atau makanan tradisional yang mungkin mengandungi bahan terlarang, itupun menjadi masalah juga, ada yang beri nutrisi dari luar negara yang mahal tetapi belum diiktiraf oleh pihak berkuasa negara.

“Mereka tidak sedar tetapi akhirnya ujian doping menunjukkan mereka positif bahan terlarang,” ujarnya.

Oleh sebab itu, kata beliau, Majlis Sukan Negeri (MSN) Perak mengambil inisiatif memberi taklimat dan penerangan untuk meningkatkan kesedaran di kalangan atlet, jurulatih dan pengurus pasukan.

Di samping itu, tambahnya, semua bahan nutrisi tambahan yang diambil oleh atlet, perlu ditunjukkan kepada pihak MSN Perak sama ada ia boleh diambil atau tidak.