IPOH: Kerajaan Perak menetapkan penggunaan aplikasi MySejahtera bagi urusan orang awam di semua pejabat kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT, berkuat kuasa serta-merta.

Perkara itu diumuman Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu selepas diputuskan Mesyuarat Exco yang dipengerusikan beliau semalam.

Menurutnya, antara lain bagi membolehkan individu melakukan penilaian kendiri untuk mengetahui risiko terhadap jangkitan COVID-19.

Menurutnya, Imbasan QR (QR Code) yang dilakukan melalui aplikasi itu juga memudahkan pengesanan kontak jangkitan Covid-19 tanpa perlu lagi mencatat maklumat diri sepertimana dilakukan sekarang.

“Saya harap orang ramai dapat muat turun aplikasi MySejahtera di telefon pintar masing-masing.

“Ia sebagai tanda sokongan terhadap usaha yang digerakkan kerajaan dan membantu Kementerian Kesihatan (KKM) melakukan pengesanan kontak jika berlaku jangkitan baharu,” katanya.

Terdahulu, KKM menggalakkan rakyat mendapatkan aplikasi MySejahtera dan MyTrace bagi membolehkan kerajaan menjalankan pengesanan kontak kepada individu yang disahkan positif Covid-19.

MyTrace adalah pelengkap kepada aplikasi MySejahtera dengan merekodkan log gelombang Bluetooth apabila pengguna berada berdekatan antara satu sama lain.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal berkata, permohonan peniaga dan penjaja termasuk peniaga pasar malam untuk beroperasi dijangka diumumkan kerajaan pusat sebelum 9 Jun ini.

Katanya, perkara itu dimaklumkan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba dalam lawatannya ke Pejabat Menteri Besar Perak bagi mengikuti mesyuarat antara kerajaan negeri pada Selasa.

“Saya harap akan ada berita baik diumumkan sebelum 9 Jun nanti dengan keadaan yang semakin terkawal, mungkin dah tiba masanya kita benarkan mereka ini beroperasi selepas berbulan tidak berniaga,” ujarnya.