IPOH: Kerajaan negeri Perak membuat keputusan untuk menganugerahkan hak milik tanah 99 tahun kepada lebih 3,000 pemegang lesen pendudukan sementara (TOL) di seluruh negeri ini.

Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu berkata, kelulusan itu akan diberikan serta merta sebagai hadiah kepada mereka.

Menurut beliau, adalah menjadi hasrat kerajaan negeri untuk memberi hak milik kepada mereka yang masih belum mendapat geran tanah.

“Jadi saya telah berbincang dengan Pengarah Tanah dan Galian (PTG) dan kita mendapati sebanyak 3,000 kelulusan lesen pendudukan sementara (TOL) dapat kita berikan hak milik 99 tahun.

“Ini akan kita buat serta merta, tidak mengira apa juga keputusan daripada pucuk pimpinan, daripada kerajaan pakatan persekutuan ataupun Majlis Tanah Negara, keputusan ini kita buat dan kita akan serahkan,” katanya kepada pemberita selepas program Bicara Harapan Rakyat siri 1 di Casuarina@Meru di sini, pada Isnin.

Hadir sama Pengarah Tanah dan Galian Perak, Rumaizi Baharin@Md Daud.

Ahmad Faizal menjelaskan, kebanyak tanah TOL yang diluluskan itu terletak di persisir pantai seperti di daerah Kerian, Larut Matang, Manjung, Hilir Perak dan Bagan Datuk, termasuk di kampung-kampung baru.

Sebenarnya, kata beliau, banyak lagi tanah TOL di Perak tetapi kerajaan negeri tidak boleh memberi hak milik kerana ia berada dalam kawasan rizab sungai, jalan dan rancangan pembangunan.

“Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab kepada pembangunan negeri, kita perlu memikirkan masa hadapan. Kita memerlukan pembinaan jalan untuk penggunaan jalan rakyat yang teramai, begitu juga dengan rizab sungai, kita kena jaga kelestarian dan sebagainya,” ujarnya.

Beliau menjelaskan, walaupun ada di antara pemilik TOL itu masih belum membuat permohonan tetapi kerajaan tetapi kerajaan negeri telah mengenalpasti untuk menghadiahkan kepada mereka yang benar-benar layak.

Menurutnya, apabila mendapat geran hak milik itu, mereka juga boleh membuat pinjaman bank untuk membina rumah yang selesa diduduki.

“Saya fikir rakyat, sekurang-kurangnya lebih 3,000 orang ini ataupun 3,000 keluarga ini akan mendapat manfaat dan mereka tentunya gembira berita yang kita bawa ini,” tambahnya.