IPOH – Kerajaan negeri mengambil keputusan untuk menghadkan jumlah kedatangan pengunjung ke hutan Royal Belum, Gerik dalam sesuatu masa bagi memastikan hutan malar tertua dunia itu terus terpelihara.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, sekiranya tiada langkah kawalan serius dibuat, dikhuatiri khazanah alam berusia lebih 130 juta tahun itu berisiko untuk terjejas ekoran lambakan pengunjung.

“Kita memang mahu (pelancong) seramai mungkin tapi dalam masa sama kita perlu ada kawalan bilangan sebenar yang boleh ke kawasan itu dalam satu-satu masa, kalau tiada kawalan akan timbul masalah serius terhadap alam sekitar.

“Setakat ini memang tiada perkara serius walaupun kita tak nafikan ada laporan berkenaan pemburuan haram namun kerajaan negeri bertegas kita bekerjasma dengan pelbagai jabatan untuk memelihara kawasan berkenaan serta spesis-spesis haiwan terkawal yang ada di situ,” katanya pada sidang media selepas mempengerusi mesyuarat exco di sini pada Rabu.

Tambah beliau, jumlah bot, sampan serta rumah bot yang boleh beroperasi di kawasan terbabit juga akan dihadkan dalam usaha memelihara kawasan yang disifatkan sebagai khazanah negara itu.

Selain itu, Menteri Besar juga memberitahu beberapa jabatan turut telah dipertanggungjawabkan untuk menjaga hutan Royal Belum.

“Jabatan Perbadanan Taman Negeri, Jabatan Hutan, Pejabat Daerah dan beberapa lagi jabatan juga kita turut mengambil keputusan untuk memberi punca kuasa khusus.

“Sebagai contoh Pejabat Daerah akan dipertanggungjawabka untuk menyediakan lesen, penjagaan kawasan dan jumlah kedatangan pelancong, Jabatan Hutan pula perlu memastikan tiada sebarang aktiviti atau kegiatan haram berlaku di dalam itu,” jelas beliau.

Pada tahun lalu, Royal Belum mencatatkan peningkatan pengunjung sehingga 200 peratus berbanding tahun-tahun sebelumnya dengan mencatatkan kedatangan 27,327 pelancong dari dalam dan luar ngara.

Majoriti daripada pelancong yang melawat hutan malar tertua dunia itu juga terdiri daripada negara-negara Eropah seperi Belanda, Itali dan Jerman.