IPOH: Kerajaan negeri Perak menghargai kejayaan penerjun negara kelahiran Perak, Cheong Jun Hoong yang memenangi pingat emas di Kejohanan Akuatik Dunia (FINA) minggu lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belua dan Sukan negeri, Datuk Shahrul Zaman Yahya berkata, bentuk penghargaan akan dibincangkan dalam mesyuarat mingguan Exco, pada Rabu.

“Kita akan bincang dalam mesyuarat Exco esok, nanti kita makluman,” katanya kepada Suara Perak ketika ditemui sebelum merasmikan Karnival Kerjaya Politeknik Ungku Omar 2017 di sini pada Selasa.

Kerajaan negeri Perak pernah memberi pengiktirafan kepada Jun Hoong selepas anak kelahiran Ipoh itu mengharumkan nama negara dalam Sukan Olimpik lalu.

Sementara itu, Shahrul Zaman bersama-sama Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaludin dan Presiden Persatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM), Datuk Seri Shahidan Kassim menyambut kepulangan Jun Hoong di KLIA1 pada Isnin.

Jun Hoong meraih pingar emas dalam acara terjun 10 meter platform individu wanita di FINA di Budapest, Hungary.