IPOH: Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menzahirkan penghargaan terhadap peranan penting yang dimainkan Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk menjayakan Sukan Malaysia (SUKMA) ke-19 Perak, dua bulan lalu.

Beliau berkata, pada temasya sukan itu, JKR Perak telah diberi amanah sebagai Jawatankuasa Kemudahan dan Infrastruktur yang diberi tanggungjawab sebagai penyelaras kepada 40 venue di seluruh negeri Perak.

Menurut beliau, antara kemudahan yang diselia oleh JKR Perak adalah Pusat Akuatik Tuanku Zara, Kompleks Menembak Darul Ridzuan dan Stadium Ragbi Perak, di samping Arena Lawnball Perak.

“Alhamdulillah, saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pegawai dan kakitangan JKR negeri Perak di atas perkhidmatan yang sangat cemerlang sepanjang SUKMA Perak berlangsung.

“Tahniah dan syabas kepada semua wira dan wirawati JKR Perak di atas kecemerlangan mereka memastikan kesemua acara dapat dilangsungkan dengan begitu lancar.

“Saya dimaklumkan warga JKR telah bertugas siang dan malam untuk memberikan khidmat yang terbaik di semua venue,” katanya ketika berucap di majlis makan malam sempena Kejohanan Sukan Kerja Raya 2018 di kediaman lama Menteri Besar di sini, malam ini.

Hadir sama Menteri Kerja Raya, Baru Bian dan Timbalan Menteri Kerja Raya, Mohd Anuar Mohd Tahir.

Lebih 1,500 atlet daripada 26 kontinjen ambil bahagian di dalam 16 acara sukan yang berlangsung dari 14 – 17 November.

Ahmad Faizal berkata, susulan daripada kejayaan yang amat membanggakan itu, kerajaan negeri telah memutuskan untuk mempromosikan Perak sebagai hub kepada sukan arus perdana, sukan ekstrim, dan tidak ketinggalan juga sebagai hub e-sports negara.

“Kita sedang menggerakkan usaha untuk menjadikan Ipoh sebagai Bandaraya Sukan.

“Bagi merealisasikan hasrat ini, kerajaan negeri akan menubuhkan Perbadanan Sukan yang akan bertanggungjawab sebagai penggerak kepada agenda promosi dan penganjuran pelbagai acara sukan bertaraf nasional dan antarabangsa di Perak,” tambahnya.

Sementara itu, Baru Bian mengingatkan kakitangan Kementerian Kerja Raya serta agensi di bawahnya supaya memastikan segala aset kerajaan selamat untuk digunakan.

Menurut beliau, semua aset itu perlu dijaga dan diselenggara supaya sentiasa dalam keadaan baik dan selamat digunakan oleh rakyat.