IPOH: Kerajaan negeri telah memperuntukkan sejumlah RM100,000 sebagai usaha membantu pengurusan pasca banjir di Pulau Pinang.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, peruntukan berkenaan akan digunakan untuk membeli peralatan yang diperlukan untuk membantu mangsa-mangsa terlibat.

“Masalah dihadapi kebanyakan mangsa ialah bagaimana nak menguruskan rumah atau sesuatu kawasan, jadi peruntukan ini akan digunakan untuk membeli peralatan mencuci dan sebagainya.

“Kita akan menghantar pasukan kita untuk membantu mangsa-mangsa, pasukan kita telah pun diminta untuk mengenal pasti kawasan-kawasan yang memerlukan bantuan dan kita akan ke sana,” kata beliau selepas mempengerusikan mesyuarat exco di sini pada Rabu.

Tambah beliau, pasukan berkenaan akan diketuai oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Modal Insan negeri, Datuk Saarani Mohamad dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikna Masyarakat, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Rusnah Kassim.

“Sebelum ini, kita juga telah meminta agensi-agensi tertentu di negeri ini seperti Lembaga Air Perak (LAP) untuk menghulurkan bantuan kepada mereka (Pulau Pinang) dan ini merupakan usaha berterusan kita untuk memberi pertolongan.

“Walaupun kita tidak boleh bertindak keseluruhannya tetapi diharap ia akan meringankan beban jiran kita dan diharap juga ia akan dapat dilaksanakan secepat mungkin,” ujar beliau.

Jelas Dr Zambry, bantuan yang diberikan oleh kerajaan negeri itu juga tidak langsung bermotifkan politik.

“Ini masalah kemanusiaan, dia jiran kita dan inilah semangat sebagai rakyat Malaysia yang saling membantu tanpa memikirkan soal politik, saya harap semua faham kita perlu membantu rakyat di negara ini yang berada dalam keadaan seperti itu,” jelasnya.