IPOH: Selepas Melaka, Kerajaan Negeri Perak memberi jaminan akan mengiktiraf lulusan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) sebagai kelayakkan rasmi justeru bakal diterima dalam perjawatan negeri.

 

Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu berkata pendirian kerajaan Perak terhadap UEC selari dengan Kerajaan Persekutuan yang telah mengiktiraf UEC sebagai sebahagian manifesto.

 

Beliau bagaimanapun menegaskan pengiktirafan lulusan UEC itu tidak bermakna kerajaan negeri berkompromi dengan kelayakkan lulus Bahasa Melayu.

 

Menurutnya lulusan UEC perlu mempunyai sekurang-kurangnya kredit bagi matapelajaran Bahasa Melayu bagi syarat memasuki perkhidmatan awam di negeri ini.

 

“Tentunya, kita menerima perlaksanaannya (UEC) dan seperti yang dikatakan oleh Menteri sebelum ini (Dr Maszlee), kita sedang bergerak ke arah itu.

 

“Kalau kerajaan pusat telah bersetuju, maksudnya kita akan menyokong,…secara bersyarat, kerana tidak silap saya di dalam manifesto Pakatan Harapan, mereka (pemegang sijil) perlulah fasih dan mendapat kredit dalam Bahasa Melayu,”katanya kepada pemberita.

 

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan perasmian Majlis Konvokesyen Kolej Komuniti Perak 2018 di Institut Latihan Kemahiran Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) Sultan Azlan Shah, Ulu Kinta, di sini hari ini.

 

Jelasnya, dalam menyentuh mengenai perihal melibatkan UEC masyarakat perlu bersikap bertolak ansur dan memberi peluang kepada pemegang sijil itu yang juga rakyat Malaysia.

 

“Untuk kaum cina yang (mempunyai) UEC ini, kita tidak boleh kekang peluang mereka hanya kerana mereka memiliki sijil UEC, kita buka sedikit ruang.

 

“Kita juga harus berlapang dada, kerana perkara ini akan memperbaiki (harmoni) kaum dan sebagainya.

 

Cuma saya bimbang sekiranya ada di kalangan kita yang terlalu gelisah bila bercakap tentang UEC, menyebabkan kaum lain terasa kecil hati,”ujarnya lagi.