IPOH: Selepas penerbangan tambang murah Ipoh – Medan oleh Malindo Air diaktifkan semula, Perak meninjau untuk mendapatkan perkhidmatan penerbangan terus Ipoh ke kawasan selatan negara China.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, pihaknya sedang cuba untuk mendapatkan perkhidmatan ke kawasan berkenaan yang tempoh penerbangannya sekitar tiga jam.

Menurut beliau, usaha-usaha yang berterusan mesti dilakukan bagi menarik pelancong-pelancong daripada negara China datang ke negeri ini.

Beliau memberitahu, antara destinasi yang difikirkan sesuai ialah Guangzhou yang menjadi antara destinasi pelancongan paling popular bagi rakyat Malaysia.

ea9bcd6f-b7be-47a3-b839-460b1ea31588“Saya telahpun menyuarakan hasrat ini kepada pelbagai pihak dan kita mengharapkan suatu hari nanti agar ianya akan menjadi kenyataan,” katanya kepada pemberita selepas majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2017 di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, pada Selasa.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai penerbangan tambang murah Medan-Ipoh Malindo Air yang terhenti sejak tahun 2015 akan diaktifkan semula bermula 16 Mac ini.

Dr Zambry berkata, ketika ini terdapat ramai pelancong negara China yang datang ke Perak, sama ada melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) atau dari Pulau Pinang dan Singapura.

Beliau turut menyifatkan keputusan Malindo Air mengaktifkan semula penerbangan Ipoh – Medan sebagai suatu berita yang mengembirakan rakyat Perak.

Menurutnya, ia menyediakan satu lagi perkhidmatan yang membolehkan rakyat Perak dan Indonesia, khususnya di kawasan Sumatera dapat menggunakan perkhidmatan itu secara terus.

“Dengan sendirinya juga mewujudkan perhubungan udara dengan negara Indonesia bagi destinasi-destinasi yang lain juga dan membuka ruang kepada penduduk Perak dan kawasan negeri-negeri yang berhampiran untuk menggunakan perkhidmatan Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah,” ujarnya.

Sambil menyatakan gembira dengan keputusan pihak Malindo Air itu, beliau berkata, ia juga merupakan antara strategi kerajaan negeri untuk memperkenalkan destinasi di negeri ini bagi menarik pelancong luar.

Dalam pada itu, kata Dr Zambry, kerajaan negeri juga sedang mengadakan perbincangan lanjut mengenai cadangan mengadakan lapangan terbang yang baharu.

“Saya telah berjumpa dengan pihak kerajaan pusat dan juga dengan pihak PEMANDU (Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan) yang diketuai Datuk Seri Idris Jala dan kami telahpun mengadakan perbincangan,” kata beliau.