KAMPAR: Kerajaan negeri Perak mengisytiharkan jihad melawan peneroka haram ‘korporat’ yang kaya raya hidup mewah hasil pertanian haram berskala besar di negeri ini.

Dalam pada itu, kerajaan negeri berikrar untuk mencari jalan penyelesaian bagi membantu petani-petani kecil mendapatkan kawasan baharu.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, bagi tujuan itu, kerajaan negeri menubuhkan Jawatankuasa Khas Penyelesaian Setinggan dan Usaha Haram Negeri Perak.

“Hidup mewah di luar negara dan bandar-bandar besar hasil dari pertanian berskala besar secara haram di Perak dengan menggaji pekerja asing secara tidak sah.

“Kerajaan negeri tidak dapat kutip hasil untuk diagihkan kepada rakyat dan penduduk tempatan tidak dapat peluang pekerjaan,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Pusat Perdagangan Kampar Fasa 1 di sini, pada Sabtu.

Ahmad Faizal berkata, kerajaan dan rakyat Perak terpaksa menanggung kerugian besar akibat penerokaan tanah kerajaan secara haram oleh peneroka-peneroka ‘korporat’ yang membuka ladang pada skala besar sejak puluhan tahun lalu.

Menurut beliau, pada tahun 2011, keluasan tanah kerajaan negeri yang diteroka secara haram di seluruh Perak dianggarkan melebihi 60,000 hektar.

Beliau berkata, akibat daripada penerokaan haram berskala besar ini, kerajaan negeri tidak dapat mengutip hasil yang sepatutnya digunakan untuk membela kebajikan rakyat dan untuk projek-projek pembangunan di negeri Perak.

Lebih menyedihkan, katanya, rakyat tempatan juga langsung tidak mendapat manfaat peluang pekerjaan daripada ladang-ladang itu kerana para peneroka ‘korporat’ haram itu mengambil pendatang asing tanpa izin untuk bekerja di ladang mereka.

Ujarnya lagi, disebabkan isu peneroka haram ‘korporat’ ini, kerajaan negeri juga berdepan dengan masalah untuk menarik pelabur ke Perak dan merencatkan proses pembangunan terancang untuk rakyat.