BAGAN DATUK: Kerajaan negeri memberi jaminan keselamatan pelancong akan diberi keutamaan ketika mereka berkunjung ke negeri sempena Tahun Melawat Perak 2017.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, usaha dan langkah telah diambil oleh pihak berkuasa bagi menjaga keselamatan pelancong dan juga rakyat negeri ini terutama di kawasan bandaraya Ipoh dan bandar-bandar utama negeri ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri memandang serius beberapa aduan yang disampaikan kepadanya berkaitan kes-kes peras ugut dan ragut yang membabitkan pelancong sewaktu mereka berkunjung ke Perak.

“Kita tidak mahu negeri Perak tercemar disebabkan oleh perbuatan-perbuatan seperti ini khususnya yang melibatkan pelancong dan rakyat tempatan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mini Karnival Teras Keselamatan di Sekolah Tun Abdul Razak (STAR), Selekoh pada Khamis.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan dan ADUN Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahya.

Menteri Besar menambah, beliau telah memohon kerjasama pihak polis untuk membantu menjalankan pemantauan menerusi konsep `Polis Berada Di Mana-Mana’ agar keselamatan pelancong dan rakyat tempatan terjamin.