PARIT BUNTAR – Kerajaan negeri memberi jaminan untuk meneruskan pemberian bantuan subsidi baja dan racun kepada petani yang layak di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrustruktur, Pertanian dan Perladangan Perak Abdul Yuhus Jamhari berkata kerajaan sedang melaksanakan pemutihan bagi memastikan bantuan itu disalurkan kepada petani yang layak mene­rimanya.

“Saya juga menafikan bahawa bantuan itu dikurangkan kerana petani yang layak akan menikmati bantuan itu,” katanya dalam sidang media selepas majlis penyampaian dermasiswa Yayasan Perak di Tanjung Piandang di sini, semalam.

Seramai 114 orang pelajar dari Parlimen Bagan Serai dan Parit Buntar menerima cek dermasiswa dari Yayasan Perak bagi melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi awam dan swasta.

Sementara itu, Abdul Yunus berkata dermasisiswa itu bertujuan meringankan beban ibu bapa yang tidak berkemampuan kerana kos sara hidup yang tinggi ketika ini.

Beliau berkata dermasiswa itu membabitkan pelajar yang melanjutkan pelajaran di peringkat sijil menerima RM300, Diploma RM500 manakala ijazah memperoleh RM800 hingga RM1,200 setiap seorang.

Katanya, dermasiswa itu diberikan kepada semua kaum yang berkelayakan dengan pendapatan isi rumah RM3,000 ke bawah.

“Walaupun sumbangan ini tidak banyak, tetapi kerajaan negeri prihatin dengan memberikan bantuan kepada pelajar yang layak kerana kos untuk persiapan awal melanjutkan pelajaran semakin tinggi,” katanya.

Sepasang kembar berusia 18 tahun, Nur Fasihah dan Nur Farihah Khiri berkata bantuan tersebut dapat membantu mereka meneruskan pengajian dalam bidang Pengurusan dan Kawalan Mutu Makanan di Kolej Komuniti Bagan Serai.

“Terima kasih kepada Yayasan Perak yang membantu kami berdua kerana tanpa bantuan awal sukar untuk kami meneruskan pengajian,” katanya yang berasal dari Alor Pongsu.- Bernama