IPOH: Kerajaan negeri Perak menjenamakan dan menstrukturkan semula Majlis Masyarakat Sivil (MMS) kepada Majlis Pembangunan dan Pemuafakatan NGO (MAPPAN).

Exco Komunikasi, Multimedia dan NGO negeri, Hasnul Zulkarnain Abd. Munaim berkata, majlis itu akan menggerak, memperkasa dan memantau NGO di negeri ini melalui inisiaf ke arah pembangunan dan kesejahteraan rakyat.

Menurutnya, ia juga bertujuan meningkatkan akauntabiliti dan ketelusan di dalam pentadbiran dan pengurusan NGO, terutamanya yang mendapat bantuan dana daripada kerajaan negeri.

“Di samping itu, ia akan menjadikan NGO sebagai perantara masyarakat serta sebagai kuasa ketiga dalam melaksanakan dasar-dasar kerajaan terutamanya berkaitan perkara kebajikan dan kemasyarakatan,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Hasnul berkata, pelantikan ahli majlis akan dibuat sedikit masa lagi.

Beliau memberitahu, di bawah pentadbirannya, portfolio NGO telah diberikan peruntukan sebanyak RM3 juta untuk pertimbangan agihan kepada NGO dalam memperjuangkan kebajikan dan manfaat kepada golongan sasar.

Menurutnya, sistem permohonan secara dalam talian telah diperkenalkan bagi memudahkan NGO yang berdaftar di Perak membuat permohonan di digital.perak.my.

“Sistem ini juga dalam pertimbangan untuk diperluaskan kepada Exco-Exco kerajaan negeri Perak yang lain untuk portfolio mereka,” ujarnya.