IPOH: Kerajaan negeri Perak menjunjung kasih dan mengucapkan tahniah kepada Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah yang dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 hari ini.

Kerajaan negeri juga menjunjung kasih dan mengucapkan tahniah kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di atas perisytiharan sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong selama tempoh lima tahun bermula 31 Januari 2019.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, keputusan yang diambil Majlis Raja-Raja itu sekaligus meneruskan kesinambungan Sistem Raja Berperlembagaan di Malaysia.

“Kerajaan Negeri Perak dengan ini mendoakan agar Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan Abdullah Ri’atuddin Al-Mustafa Billah Shah terus dikurniakan keafiatan dan hidayah dalam menjalankan tugas sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-16. Daulat Tuanku,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Khamis.