IPOH: Kerajaan negeri menyambut baik cadangan untuk mewujudkan konsep Digital Free Trade Zone (DFTZ) yang akan merintis konsep usahawan menggunakan platform internet di Perak.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata cadangan Mohamad Ziad Mohamed (BN – Manjoi) itu merupakan inisiatif bernas untuk membolehkan usahawan digital beroperasi dengan kos yang rendah.

Katanya, pelaksanaan DFTZ berkenaan akan memberi peluang kepada pelanggan untuk mendapatkan barangan yang ditawarkan pada harga yang kompetitif sekaligus mewujudkan persaingan sihat di antara peniaga maya.

“Saya yakin, cadangan untuk konsep DFTZ atau one stop centre di kawasan Meru Raya untuk memacu kemajuan ekonomi digital itu akan dapat direalisasikan dan menggalakkan penyertaan ramai dalam sektor e-dagang dari Negeri Perak.

“Bagaimanapun, bagi merangsang ekonomi digital, adalah penting untuk negeri Perak mewujudkan ekosistem yang kukuh terdiri daripada bakat komunikasi teknologi maklumat (ICT) bertaraf antarabangsa bagi memenuhi permintaan teknologi yang semakin berkembang dan kemudahan digital untuk perhubungan lebih lancar,” katanya ketika menggulung perbahasan di Sidang DUN pada Isnin.

 

Nolee berkata, kerjasama di antara agensi-agensi adalah perlu di dalam menyediakan kemudahan infrastruktur yang baik dan juga penyediaan program yang mampan yang mampu untuk memacu pertumbuhan ekonomi digital negeri Perak dimasa yang akan datang.

Katanya lagi, setakat ini kerajaan negeri telah mewujudkan beberapa pusat dan inisiatif di dalam merancakkan pembangunan industri kreatif dan digital seperti PINCER, Pusat Inovasi AmanJaya dan Perak Filem Office (PFO)  bagi menampung keperluan dan permintaan industri kreatif dan berinovasi negeri kearah negeri berpendapatan tinggi.

“Saya yakin dengan perancangan dan pelaksanaan yang telah dirancang oleh kerajaan negeri dengan disokong oleh kerajaan persekutuan usaha untuk memartabatkan industri kreatif dan digital ini dapat terlaksana dengan jayanya,” ujarnya.