IPOH: Kerajaan negeri Perak akan memperhalusi dengan lebih mendalam projek tambakan laut di perairan selatan Pulau Pinang (PSR).

Exco Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Peladangannya, Abdul Yunus Jamhari berkata, sebuah jawatankuasa perlu ditubuhkan, melibatkan jabatan dan agensi berkaitan, pakar-pakar dari universiti tempatan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Perbincangan dia hala antara kerajaan negeri Perak dan Pulau Pinang juga mungkin akan diadakan bagi meneliti isu ini dengan lebih lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini, pada Rabu.

Astro AWANI baru-baru ini menyiarkan laporan mengenai bantahan pelbagai pihak, termasuk Persatuan Nelayan Negeri Perak (Penggerak) terhadap projek PSR.

Abdul Yunus berkata, kerajaan negeri telah menerima maklumbalas dan meneliti pandangan semua pihak, termasuk NGO.

“Projek tersebut dikatakan akan turut menjejaskan kawasan utara Perak khususnya di Tanjung Piandang dan Bagan Tiang di mana akan berlaku hakisan terhadap hutan paya bakau di kawasan yang berkenaan.

“Manakala kesan dari aktiviti perlombongan pasir di dasar laut Tanjung Piandang pula akan menjejaskan kehidupan lebih 6,000 nelayan tempatan khususnya nelayan pantai,” ujarnya.

Menurutnya, beliau telah berhubung dengan pihak Jabatan Perikanan negeri dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) negeri serta Pejabat Daerah dan Tanah Kerian untuk mendapatkan keterangan lanjut.

Katanya, pihak LKIM menyatakan sehingga kini tiada sebarang perbincangan dengan mana-mana persatuan nelayan di negeri Perak atau kumpulan nelayan yang bakal terjejas.

“LKIM negeri tidak menolak sebarang pembangunan yang memberi impak positif, namun nasib para nelayan di negeri ini perlu dibela dan dijamin kesejahteraan mereka,” tambahnya.

Dalam pada itu, kata Abdul Yunus, Penggerak pula menolak dengan tegas aktiviti perlombongan pasir di kawasan penangkapan ikan dengan memberikan beberapa sebab.

Katanya, Penggerak berpendapat, ia akan menjejaskan pendapatan nelayan pantai zon A terutama nelayan tradisional kerana kawasan penangkapan sedia ada akan mengecil dan mereka perlu pergi lebih jauh serta memerlukan kos operasi tangkapan yang lebih tinggi.

Di samping itu, ujarnya, ia juga menjejaskan kualiti air laut dan sumber marin yang boleh memberi kesan kepada habitat dan ekosistem hidupan laut sedia ada, sekaligus mengurangkan hasil tangkapan nelayan.

Menurutnya, mereka juga bimbang keselamatan nelayan terganggu dan dikhuatiri akan menyebabkan kemalangan atau kerosakan kepada peralatan nelayan kerana kapal-kapal yang membawa batu dan pasir akan melalui laluan yang sama.