IPOH – Penganjuran program Sama-Sama Pride of Perak (Pop), di Jalan Bandar Timah Pekan Lama, mulai 19 hingga 20 Januari 2019 ini, bakal membantu merealisasikan hasrat kerajaan negeri menjadikan negeri ini penuh dengan festival.

Exco Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Negeri Perak, Tan Kar Hing berkata, hasrat berkenaan dilihat mampu membantu pertumbuhan ekonomi negeri hasil kunjungan pelancong dari dalam dan luar negeri.

Menurutnya, perkara berkenaan akan membantu merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi setempat.

“Kita nak umumkan satu lagi program anjuran kerajaan negeri mulai 19 hingga 20 Januari ini iaitu Sama-sama Pop.

“Pelbagai rekaan ciptaan, idea daripada warga Perak sendiri akan dipamerkan pada program berkenaan yang diadakan di 22 Hale Street Heritage Gallery Ipoh di Pekan Lama, Ipoh.

“Selain itu, kita juga akan anjurkan perasmian Galeri Warisan Hale Street pada 20 Januari yang akan disempurnakan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah,” katanya pada sidang media, semalam.

Difahamkan pelbagai aktiviti menarik seperti program bual bicara, bengkel, pertandingan mewarna, bengkel kraftangan, sketsa, live band, malam kebudayaan, persembahan pentas serta penampilan khas maskot pelancongan Perak, Kopiro.

Sementara itu Kar Hing berkata, pihaknya menyasarkan seramai 5,000 pengunjung bakal hadir ke program berkenaan.

“Secara keseluruhannya, kita mahu menjadikan Ipoh sebagai sebuah bandar kreatif (creative city) pada masa hadapan,” katanya – sinar harian