BATU KAWAN: Penantian tiga tahun Pulau Pinang untuk melangkah ke peringkat suku akhir Piala FA pada tahun ini tidak kesampaian apabila tewas 3-1 di tangan Perak di Stadium Negeri, di sini malam tadi.

Sejarah kegemilangan skuad Harimau Kumbang pada tahun 2015 bagai tidak menjadi apabila Perak kendalian Mehmet Durakovic menjinakkan anak buah Zainal Abidin Hassan.

Gol pertama Perak dijaringkan Wander Luiz pada minit ke-18 selepas mendapat bola lambung yang dirembat terus ke dalam gawang Pulau Pinang.

Pulau Pinang terus berduka apabila Perak dihadiahkan sepakan penalti selepas kapten Pulau Pinang, Ugochukwu Ukah menjatuhkan Ahmad Khairil Anuar Ahmad Zamri dan dilayangkan kad kuning.

Pemain import Perak, Gilmar Jose memanfaatkan peluang apabila mencatat nama sebagai penjaring gol Perak pada minit ke-75 sekali gus meresahkan Pulau Pinang.

Perak terus menambah luka Pulau Pinang apabila Wander Luiz menjaringkan gol ketiga pada minit ke-78 sekali gus mengesahkan tiket ke suku akhir buat The Bos Gaurus.

Pulau Pinang bagaimanapun berjaya menjaringkan gol sagu hati menerusi Ukah pada minit ke-89.