Seluruh negeri Perak bersedih dengan pemergian Ahli Parlimen Kuala Kangsar Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad yang disifatkan sebagai kehilangan sebutir permata buat negeri ini.

Allahyarham yang terlibat dalam nahas helikopter di Sarawak telah disahkan maut sebentar tadi selepas jasadnya ditemui pasukan polis marin kira-kira jam 6.50 petang tadi.

Wan Mohammad Khair-il merupakan mangsa kelima yang ditemui selepas pesawat Eurocopter AS350 yang dinaiki bersama lima lagi dari Betong ke Kuching, hilang pada petang Khamis.

Pemimpin tempatan menyifatkan pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan besar kerana beliau seorang pemimpin berkaliber dan banyak berjasa.

Bagi Yang-Dipertua PAS Kuala Kangsar, Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss, pemergian Wan Khair-il merupakan satu kehilangan besar untuk penduduk daerah itu.

“Arwah seorang pemimpin yang terbuka. Kami sendiri daripada PAS selalu bertemu untuk menyelesaikan apa jua permasalahan rakyat.

“Antara kehebatannya beliau boleh menolak batas-batas politik demi kepentingan rakyat  di mana kami pun sendiri di PAS menjadikan itu satu sebagai satu kekuatan untuk penduduk Kuala Kangsar,” katanya ketika ditemui SuaraPerak selepas majlis tahlil di rumah arwah dekat Bukit Chandan pada Sabtu.

Untuk Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kuala Kangsar, Mustafa Shah Abdul Hamid pula, kepimpinan dan visi Allahyarham sebagai pemimpin tiada tolok bandingnya.

“Kami sangat terasa kehilangnya. Arwah tidak pernah letih memberi sokongan kepada kami khususnya untuk pemuda bahagian dalam pelbagai bentuk termasuk sokongan moral dan juga nasihat.

“Dari segi visinya  pula apabila arwah membentangkan rancangan dalam mesyuarat untuk DUN Manong dan DUN Chandan melibatkan beberapa agensi kerajaan negeri amat mengagumkan,” ujarnya dalam nada sedih.

Justeru Mustafa berharap segala peracangan dan visi yang telah dibuat oleh Allahyarham untuk Kuala Kangsar akan dapat diteruskan pada masa akan datang demi legasi pemimpin itu.

Sementara itu, Naib Ketua Wanita UMNO Kuala Kangsar, Datin Rohayu Abd Rajak memberitahu mereka redha dengan pemergian arwah walaupun susah untuk menerima kenyataan.

“Saya mewakili wanita bahagian Kuala Kangar amat terasa dengan pemergian arwah. Kalau boleh kami nak tengok dia depan mata macam mana dia pergi dan macam mana dia balik,” katanya menitiskan air mata.

Jenazah Wan Khair-il dijangka disembahyangkan di masjid Ubudiah dan dikemudian disemadikan di tanah perkuburan Masjid Ubudiah.‎