IPOH : Kerajaan negeri Perak kekal dengan larangan kempen Beli Barangan Buatan Muslim Dahulu (BMF) di dalam kawasan masjid, kerana didapati individu yang terlibat dalam pelancaran kempen di masjid berkenaan merupakan pimpinan bagi parti politik tertentu.

Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan, Asmuni Awi bagaimanapun berkata, kerajaan negeri tidak menentang sebarang kempen yang dijalankan oleh mana-mana NGO dalam premis kerajaan asalkan selari dengan dasar dan polisi kerajaan.

“Pihak kerajaan tidak mahu terlibat dengan kempen yang tidak selari dengan dasar dan polisi kerajaan yang sedang giat mempromosikan pensijilan dan penghasilan produk halal.

“Kempen seperti yang dianjurkan oleh BMF ini secara keseluruhannya akan memberi kesan negatif kepada konteks ekonomi dan keharmonian dalam konteks Malaysia.

“Walaupun pihak penganjur mendakwa aktiviti itu dibuat atas nama NGO, tapi laporan dan hasil siasatan mendapati individu dalam pelancaran kempen di masjid berkenaan merupakan pimpinan bagi parti politik tertentu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media khas berhubung isu kerajaan Perak melarang sebarang penganjuran kempen BMF di dalam kawasan masjid, di Bangunan Perak Darul Ridzuan pada Selasa.

Dalam pada itu, Asmuni turut menafikan dakwaan Umno dan Pas Perak bahawa kerajaan negeri mengheret institusi Mufti ke dalam politik kepartian berhubung isu tersebut.

“Siapa yang sebenarnya yang melibatkan institusi Mufti dalam urusan ini? Tanya balik kepada Umno dan Pas lah, dan kita pun tahu dalam konteks negeri Perak siapa NGO tersebut.

“Siapa yang cuba membawa institusi Mufti? misalnya program (BMF) yang pada asalnya akan dilancarkan di peringkat negeri Perak di sebuah masjid, saya dimaklumkan yang akan merasmikan program itu ialah Timbalan Mufti Perak… siapa yang libatkan?siapa yang bawa? Bukan saya.

“Mereka yang mengheret, mereka itu siapa? Siapa sebenarnya mengheret institusi Mufti dan berselindung di sebalik NGO,”katanya lagi.

Tambahnya, siasatan akan dijalankan jika mana-mana NGO tetap meneruskan kempen BMF di masjid terpilih di seluruh Perak.

Baru-baru ini, Gerakan Pembela Ummah Perak (UMMAH Perak) memberi tempoh dua minggu untuk kerajaan negeri Perak menggerakkan karnival jualan atau kempen berkaitan produk halal di masjid.

Pengerusinya, Datuk Khalil Idham Lim menegaskan, jika tiada sebarang maklum balas berhubung perkara itu, pihaknya bertekad untuk meneruskan jadual kempen BMF yang sudah siap disusun di semua masjid di Perak.