IPOH: Perak akan mengeluarkan hasil kajian menyeluruh mengenai ekonomi dan pendapatan isi rumah negeri ini yang dijangka pada pertengahan tahun 2017.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, kajian lengkap mengenai anjakan ekonomi negeri daripada tahun 2009 hingga 2016 itu dibuat bagi membolehkan kerajaan negeri mengukur prestasi polisi yang dibuat dengan lebih berkesan.

“Kajian ini bukanlah sebagai respon kepada apa yang dikeluarkan oleh Khazanah Research Institute (KRI), tetapi lebih kepada keperluan kerajaan negeri untuk melihat sejauh mana pencapaian negeri Perak.

“Kalau kita lihat kajian dan perbandingan yang dibuat oleh pihak KRI atau mana-mana pihak, mereka perlu mengambil data dari seluruh negara, sedangkan daripada sumber-sumber itu kadangkala agak ketinggalan,” katanya dalam sidang media selepas majlis Executive Talk dan Perutusan Tahun Baru 2017 Menteri Besar di sini pada Khamis.

Menurut beliau, hasil daripada kajian lengkap dan terkini itu juga nanti akan membolehkan mana-mana pihak yang ingin membuat kajian menggunakannya sebagai rujukan.

“Ianya merupakan tanggungjawab kerajaan negeri menyediakan data terkini supaya ianya dapat dijadikan rujukkan mana-mana agensi atau pihak-pihak yang membuat kajian.

“Data ini juga bukan disediakan mengikut apa yang kerajaan negeri mahu, tetapi yang dibuat oleh pihak agensi dan pelbagai konsultan bebas,” jelas Menteri Besar.